Nurul Husna Mahmud


RAMADAN tidak pernah menjadi alasan buat skuad sukarelawan IMAM Response & Relief Team (IMARET) yang disertai Dr Ahmad Yusuf Yahya untuk memperlahankan kerja bakti iaitu menyalurkan khidmat klinik bergerak kepada Orang Asli di Pos Simpor Gua Musang, Kelantan.

Malah menurut Dr Ahmad, ketika inilah beliau dan kumpulan sukarelawan berlumba-lumba menuai pahala dan kebajikan apatah lagi ketika dalam bulan yang penuh barakah.

Namun tidak pula mendabik dada, kata Penyelaras Program Klinik Bergerak orang Asli IMARET itu, rasa penat dan dahaga tentu saja lebih terasa, tetapi keperluan golongan sasaran iaitu masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di belantara menjadi keutamaan pasukannya.

Apatah lagi ketika ini skuad bergerak Kementerian Kesihatan turut ‘berehat’ seketika daripada aktiviti turun ke lapangan pedalaman yang menjadi lokasi kebanyakan masyarakat Orang Asli Suku Temiar Kelantan.

Oleh itu, semestinya itu menyukarkan kumpulan sasaran mendapatkan akses kepada perubatan dan setidak-tidaknya kehadiran kumpulannya itu dapat memberi sokongan dan bantuan kepada masyarakat Orang Asli di tujuh kampung yang terdapat di pos terbabit.

WANITA membawa anak mendapatkan pemeriksaan di klinik bergerak IMARET.
WANITA membawa anak mendapatkan pemeriksaan di klinik bergerak IMARET.

Kata Dr Ahmad, hikmah terbesar menjalankan misi ketika Ramadan ialah pihaknya menerima lebih banyak permintaan daripada sukarelawan yang menawarkan diri untuk menyertai skuadnya.

“Saya tidak pernah berdepan masalah untuk mendapat sukarelawan ketika Ramadan sebaliknya masalah itu dihadapi sebaik menjelang bulan raya kerana majlis rumah terbuka, kenduri dan sebagainya. Semuanya ada rancangan yang sukar dielakkan.

“Malah selalu juga kami tidak mempunyai slot cukup untuk membawa semua sukarelawan yang mendaftar pada bulan puasa kerana tempat adalah terhad bergantung kepada jumlah kenderaan.

“Biasanya pasukan kami masuk ke kawasan pedalaman dengan enam kenderaan termasuk dua bagi tujuan teknikal dan dapur. Selebihnya membawa peralatan untuk klinik bergerak dan barang bantuan diserahkan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Menceritakan cabaran mengenai perjalanan sukarelawan untuk sampai ke lokasi, kata Dr Ahmad, pasukannya yang sudah bergerak sejak 2015 sedia maklum dengan onak dan duri sepanjang menjalankan misi terbabit.

LAWATAN ke rumah pesakit
LAWATAN ke rumah pesakit

“Bergerak dalam kumpulan kecil yang menabur bakti kepada tujuh kampung, tentu saja skala bantuan kami boleh berikan agak terhad selain kedudukan kampung yang jauh tersorok menyebabkan kami perlu kerja lebih keras untuk sampai.

“Jadual padat selain cuaca dan keadaan jalan menyebabkan perjalanan kami sebagai sukarelawan perubatan belantara ini sangat mencabar.

“Biasanya pada awal tahun cuaca kering dan jalan tidak rosak teruk. Bulan puasa kali ini jatuh pada pertengahan tahun dan saya dimaklumkan oleh skuad sukarelawan lain yang selalu keluar masuk ke kawasan berkenaan, setiap petang hujan.

“Jadi persiapan lebih rapi termasuk setiap sukarelawan kena membawa keperluan makanan kering dan perubatan sendiri. Berdasarkan pengalaman dua tahun ini, kami terpaksa buka dapur di pertengahan jalan dan mengalas perut dengan biskut kering serta mi segera. Jadi, saya ingatkan sukarelawan untuk bawa makanan lebih untuk keperluan mereka,” katanya.

PENGAMAL perubatan melakukan pemeriksaan di klinik lapangan.
PENGAMAL perubatan melakukan pemeriksaan di klinik lapangan.

Mengenai bantuan diberikan katanya, ketika ini selain vaksin untuk kanak-kanak dan pemeriksaan buat ibu mengandung, pihaknya turut membuat penambahbaikan dari segi fasiliti perubatan termasuk pemeriksaan mata buat dua kampung paling dalam iaitu Kampung Simpor dan Penad yang baru diperkenalkan baru-baru ini.

“Kalau sebelum ini kami memberi rawatan kesihatan asas selain vaksin dan pemeriksaan ibu mengandung, penduduk kampung di dua kampung turut menerima pemeriksaan mata apabila kanak-kanak atau dewasa akan menerima cermin mata buat pertama kalinya.

“Mereka sangat teruja dengan bantuan ini kerana ia membantu urusan seharian mereka. Orang Asli bergantung kepada kerja tangan seperti menganyam buluh dan adanya kaca mata membantu mereka melakukannya dengan lebih baik,” katanya.

LANGIT tak selalunya cerah. Petugas kesihatan terpaksa menempuhi jalan yang mencabar untuk sampai ke perkampungan Orang Asli.
LANGIT tak selalunya cerah. Petugas kesihatan terpaksa menempuhi jalan yang mencabar untuk sampai ke perkampungan Orang Asli.

SUKARELAWAN SERBA BOLEH

Bagi rakannya yang juga Exco Farmasi IMARET, Ahmad Rashid Mohamed Tahir berkata, tugasnya sebagai sukarelawan tidak sekadar menawarkan khidmat perubatan semata-mata sebaliknya komitmen lebih daripada itu.

“Sebenarnya sukarelawan skuad ini tidak terhad memberi khidmat dan servis kepada masyarakat sasaran semata-mata tetapi juga sokongan kepada pasukan itu sendiri.

“Dalam fikiran sukarelawan perlu ada peranan mereka boleh berubah bila-bila masa saja daripada sukarelawan perubatan kepada unit teknikal dan sebagainya. Mereka perlu lengkapkan pelbagai kemahiran dalam mempersiapkan diri ketika menghadapi saat kecemasan.

“Biasanya peranan saya sebagai pembantu pemandu perlu tahu bagaimana hendak memuatkan dan menyusun barang serta apa yang perlu lakukan ketika kecemasan. Tanggungjawab ini cukup besar kerana risiko dalam hutan dengan laluan tidak rata boleh meningkatkan kemungkinan sukarelawan menghadapi kemalangan,” katanya.

Mengakui pernah menghadapi kemalangan iaitu kenderaan dinaiki pernah terbalik, kata Ahmad Rashid, itu tidak pernah membuatkan beliau serik sebaliknya semakin giat mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu dalam menghadapi ranjau sebagai sukarelawan.

UMMI bersama kanak-kanak Orang Asli.
UMMI bersama kanak-kanak Orang Asli.

“Kepuasan ialah apabila dapat melihat kualiti kehidupan terutama kesihatan masyarakat ini bertambah baik. Selain itu, ada perkara yang membuatkan saya cukup terkesan apatah lagi dalam Ramadan ini iaitu peluang menunaikan solat Tarawih bersama masyarakat Orang Asli itu sendiri. Ia momen yang sangat berharga.

“Mereka gembira apabila dapat berbuka dan menunaikan solat Tarawih bersama. Peluang itu jarang dinikmati mereka kerana jumlah keluarga yang beragama Islam tidak ramai. Jadi setidaknya kami meramaikan jemaah untuk dirikan solat istimewa Ramadan itu,” katanya.

Bagi sukarelawan, Ummi Faten Nabila Saiful Anuar berkata, dia teruja untuk merasai pengalaman pertama menjalani puasa bersama masyarakat itu.

“Pada saya mental perlu cukup supaya tidak ‘koyak’ kerana sedia maklum hari biasa sudah penat apatah lagi ketika Ramadan. Jadi dengan perjalanan jauh dan perlu lakukan rutin biasa semestinya saya perlu pastikan fizikal juga dalam keadaan baik.

“Kesukaran dan cabaran meredah hutan tidak menjadi penghalang kerana saya memang biasa dengan aktiviti mendaki gunung. Ini cabaran yang saya sudah sedia maklum. Apa saya perlu lakukan ialah memastikan pek makanan mencukupi untuk diri sendiri selain sentiasa ingatkan diri supaya bersedia dengan keadaan tidak dijangka seperti terkandas,” katanya.

Ditanya apakah pembabitan ketika Ramadan itu akan membimbangkan keluarganya, kata Ummi, keluarganya sedia maklum dan memahami minatnya dalam kerja sukarela.

Kata Ummi, dia berharap lebih ramai akan terbabit dalam kerja kebajikan sedemikian selain terus meningkatkan keprihatinan orang ramai untuk menyumbang kepada usaha skuadnya.

Bagi yang berhasrat menyumbang kepada Persatuan Perubatan Islam Malaysia boleh salurkan bantuan ke akaun 86007003709 (CIMB) atau mengunjungi FB IMARET untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 11:25 AM
SELAIN vaksin kanak-kanak dan pemeriksaan ibu hamil, penambahbaikan fasiliti perubatan turut dilakukan.
SELAIN vaksin kanak-kanak dan pemeriksaan ibu hamil, penambahbaikan fasiliti perubatan turut dilakukan.