JERAM Toi tawar pengalaman mandi-manda mengujakan.
JERAM Toi tawar pengalaman mandi-manda mengujakan.
Suliati Asri


Dikelilingi Hutan Khatulistiwa yang menghijau, Jelebu di Negeri Sembilan nyata daerah yang cantik dan punya banyak tarikan pelancongan yang harus dilawati saat berkunjung ke sini.

Terbahagi kepada lapan mukim iaitu Kuala Klawang, Kenaboi, Hulu Triang, Peradong, Pertang, Gelami Lemi dan Hilir Triang, Jelebu yang berkait rapat dengan sejarah kedatangan orang Minangkabau terawal ke Semenanjung Malaysia ini juga terkenal sebagai destinasi yang menawarkan pelbagai aktiviti ekopelancongan.

Masyarakatnya yang mengamalkan Adat Perpatih juga menjadikan daerah ini sebagai lokasi sesuai untuk mereka yang ingin mendalami adat yang cukup unik ini.

Justeru, bagi yang sedang mencari destinasi menarik yang ingin dikunjungi hujung minggu ini, Jelebu punya banyak tarikan yang pastinya tidak akan mengecewakan anda.

Muzium Adat

Bersesuaian dan bertepatan dengan identiti negeri Sembilan sebagai ‘Tanah Beradat’, muzium pertama di negara ini yang menghimpunkan adat dari pelbagai etnik di Malaysia, Muzium Adat dibuka secara rasminya pada 2 Februari 2008.

Ditubuhkan bertujuan menghimpunkan beberapa aspek kehidupan masyarakat Malaysia yang boleh dianggap sebagai adat muzium ini terbahagi kepada empat galeri yang masing-masing menyimpan khazanah menarik.

Muzium ini turut menyediakan satu segmen khusus mengenai Adat Perpatih bagi menonjolkan Negeri Sembilan sebagai negeri beradat.

Galeri Pertama di muzium ini memberi tumpuan kepada pengenalan dan konsep adat di Malaysia. Ia juga meliputi sejarah awal tercetusnya adat terbesar di Alam Melayu iaitu Adat Perpatih dan Temenggung menerusi replika Batu Batikam dan Batu Baling, artifak atau peralatan upacara adat serta pakaian adat dari pelbagai kaum di Malaysia.

Galeri Kedua pula mempamerkan pelbagai adat yang dikaitkan dengan kitaran hidup manusia termasuk kelahiran, perkahwinan, kematian dan kegiatan ekonomi serta amalan ritual seperti bobohizan, turun perahu, perubatan tradisional dan juga menifestasi adat menerusi peralatan muzik.

Di Galeri Ketiga mempamerkan kegiatan intelektual di istana dan rakyat dengan mempamerkan artifak seperti manuskrip dari Sejarah Melayu, Batu Bersurat Terengganu serta cerita rakyat.

Di samping itu, di galeri ketiga ini turut dipamerkan kedaulatan dan kekuasaan Raja-Raja Melayu dan pembesar tempatan. Ini dapat dilihat menerusi diorama Kerjan Undang Luak Jelebu. Selain itu, terdapat juga artifak lain yang menjadi simbol kedaulatan seperti keris kuasa, tengkolok, sumber perundangan, singgahsana Yang Dipertuan Agong pertama serta amalan undang-undang adat di Sarawak seperti orang Iban.

Galeri Keempat mempamerkan segmen khusus mengenai Adat Perpatih secara historikal yang bermula dari Sumatera (Alam Minangkabau) sehingga bertapak di Negeri Sembilan yang disokong dengan artifak seperti keris, tepak sireh, peti kayu untuk merantau, lesung indik, bujam epok dan lain-lain.

Selain itu, pada segmen ini turut memperlihatkan keutuhan dari Adat Perpatih dari sudut struktur sosial seperti Datuk Lembaga Berlapan, peranan Ibo Soko yang dimanifestasikan menerusi diorama dan artifak. Segmen Adat Perpatih turut menonjolkan mengenai sistem tanah adat serta simbol ritual menerusi replika batu megalith, Pengkalan Kempas.

Jeram Toi

Terletak di Hutan Simpang Berembun, Jeram Toi adalah lokasi riadah yang cukup mengujakan dan paling mudah untuk diakses di Jelebu.

Dengan jarak sejauh 28 kilometer (km) dari Seremban dan 12 km dari Pekan Kuala Klawang, istimewanya Jeram Toi mempunyai air terjun empat tingkat (Sungai Batang Toi) dan laluan trek menuju ke Gunung Telapak Buruk.

Jeram Toi adalah destinasi paling sesuai untuk beriadah bersama keluarga dengan adanya kolam mandi serta papan luncur untuk kanak-kanak.

Berkeluasan lebih kurang 3.4 hektar, Jeram Toi dikelilingi hutan dari jenis Dipterokarpa Bukit ini juga memberikan suasana yang damai dan menyenangkan pengunjung yang datang.

Bagi keselesaan pengunjung, kemudahan seperti tandas, surau, bilik persalinan serta ‘boardwalk’ disediakan. Terdapat juga gerai makanan yang menjual pelbagai juadah.

Lata Kijang

Hutan Lipur Lata Kijang di Hutan Simpan Kenaboi dengan keluasan 6.47 hektar. Tarikan utama Lata Kijang ini adalah pada air terjunnya setinggi 80 meter yang juga air terjun paling tinggi di Negeri Sembilan.

Di sini, selain mandi-manda dan berkelah, terdapat juga kemudahan penginapan iaitu tapak perkhemahan yang terbahagi kepada dua zon dan boleh menampung 300 orang serta dilengkapi dengan tandas dan dewan serba guna.

LATA Kijang destinasi mandi air terjun yang menarik.
LATA Kijang destinasi mandi air terjun yang menarik.

Dikelilingi hutan Dipterokarpa Bukit, bagi yang inginkan aktiviti lebih mencabar, Gunung Besar Hantu (1,462 meter) menanti untuk ditawan. Gua Semong dan Gua Harimau serta perkampungan Orang Asli juga antara tempat menarik yang boleh diterokai sekitar Lata Kijang ini.

Tempat ini sesuai untuk mereka yang cintakan kehidupan semula jadi kerana ia kaya dengan flora dan faunanya. Pelbagai spesies burung, tumbuhan dan hidupan liar juga boleh dilihat. Keunikan hutan lipur ini adalah, kebanyakan spesies tumbuh-tumbuhan di sini sukar ditemui di tempat lain.

Titi Eco Farm

Terletak kira-kira 30 meter di atas paras laut, udara yang segar, bersih dan kedudukannya yang dikelilingi bukit-bukau serta kehijauan pemandangan gunung menjadikan Titi Eco Farm Resort antara lokasi wajib dikunjungi.

Dibuka sejak 1997 dengan konsep memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai percutian dan kehidupan sihat menerusi produk organik, pelbagai aktiviti menarik menanti terutama aktiviti berkebun.

RASAI pengalaman berkebun dan menikmati kehijauan yang mempesona di Titi Eco Farm.
RASAI pengalaman berkebun dan menikmati kehijauan yang mempesona di Titi Eco Farm.

Penerokaan di ladang seluas 16 hektar akan membawa pengunjung ke kebun sayur-sayuran yang ditanam secara organik, tanaman buah-buahan, taman herba, kolam ikan, ladang ternakan serta kawasan rekreasi.

Berkunjung ke sini, Titi Eco Farm Resort ini menawarkan dua pakej iaitu perjalanan siang atau bermalam yang dipenuhi dengan aktiviti cukup mengujakan.

Untuk perjalanan siang, pengunjung akan dibawa melawat kawasan ladang, memetik sayur-sayuran, buah-buahan dan makan tengah hari dengan menu sihat serta organik.

TITI Eco farm tawar aktiviti riadah mengujakan.
TITI Eco farm tawar aktiviti riadah mengujakan.

Bagi yang bermalam pula, antara aktiviti yang ditawarkan termasuk membuat roti organik, melawat kawasan kebun dan beristirahat di salah satu daripada 30 bilik jenis dorm, semi-D dan ‘energy garden’.

Homestay Klawang

Ditubuhkan pada 25 September 2008 dan rumah inap desa ke-8 yang diwujudkan di Negeri Sembilan, Homestay Klawang menyajikan suasana kampung yang permai.

Menyajikan persekitaran segar dan budaya Adat Perpatih, Homestay Klawang menawarkan pengalaman unik untuk pelancong dalam dan luar negara bagi merasai suasana kampung dengan alam semula jadi dan tradisinya yang masih dikekalkan.

Terletak 78km dari Kuala Lumpur dan 40km dari Seremban, bermalam dengan keluarga angkat di 15 rumah inap desa di kampung ini pastinya pengalaman menyeronokkan.

PELANCONG berpeluang merasai pelbagai mainan tradisional dan suasana kampung di Homestay Klawang.
PELANCONG berpeluang merasai pelbagai mainan tradisional dan suasana kampung di Homestay Klawang.

Di sini, selain tinggal bersama keluarga angkat, aktiviti kampung seperti menangkap ikan, mandi-manda di empangan dan bermain permainan tradisional seperti batu seremban pasti menceriakan.

Pertunjukan kebudayaan seperti bermain cak lempong dan tarian piring serta memasak makanan tradisional seperti masak lemak cili api dan dodol serta kuih tradisional menambahkan lagi warna-warni kemeriahan saat berkunjung ke Homestay Kuala Klawang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 11:54 AM