ALEFF (kanan) dan Tajrin bersama karya masing-masing dalam Pameran Primer for A Language di Artemis.
ALEFF (kanan) dan Tajrin bersama karya masing-masing dalam Pameran Primer for A Language di Artemis.
TAJRIN bersama karyanya bertajuk Silent Conversation I.
TAJRIN bersama karyanya bertajuk Silent Conversation I.
ALEFF bersama karyanya bertajuk Kacau.
ALEFF bersama karyanya bertajuk Kacau.
KEWUJUDAN titik hitam memberi kesan yang menggangu tumpuan penonton.
KEWUJUDAN titik hitam memberi kesan yang menggangu tumpuan penonton.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kehidupan yang harmoni boleh terganggu dan menjadi ‘kacau’ hanya kerana sesuatu perkara.

Begitu jugalah dengan karya pelukis muda, Aleff Ahmad menerusi karyanya bertajuk Kacau yang dipamerkan dalam Pameran Primer for A Language di Artemis Art.

Menggunakan empat warna iaitu biru langit, hijau zaitun, putih dan hitam dalam karyanya tetapi tumpuan penonton boleh terganggu dan menjadi kacau dengan kewujudan titik berwarna hitam dalam lukisan itu.

Aleff berkata, meskipun titik hitam itu bersaiz kecil, pengaruhnya cukup besar sehingga menimbulkan persoalan kepada pengunjung mengenai peranan titik berkenaan.

“Hasil karya ini berunsurkan komposisi yang secara asasnya sama tetapi mempunyai elemen menganggu iaitu titik hitam.

“Kehadiran titik hitam ini juga sebenarnya mengajak pengunjung berfikir secara lebih mendalam mengenai maksud tersirat dalam lukisan,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, mesej dalam lukisan genre modernisme itu mempunyai ciri hampir sama dengan karya genre abstrak kerana menuntut pengunjung berfikir.

Menurutnya, kedudukan titik hitam itu tidak sama tetapi jika disambungkan ia menjadi titik pergerakan.

Apa yang pasti, meskipun lukisan berkenaan menggunakan medium cat industri dan akrilik atas kanvas itu nampak ringkas tetapi hasil kerja Aleff begitu halus serta menarik.

Manakala Tajrin Faruqi pula, memilih ‘Silent Conversational I’ sebagai tajuk karyanya yang menterjemahkan refleksi dirinya terhadap karya.

Tajrin berkata, dalam karya itu terdiri daripada pelbagai jenis iaitu puisi, sajak dan luahan perasaannya.

“Walaupun lukisannya kelihatan seperti tulisan ‘cakar ayam’ tetapi jika dihayati pasti boleh membaca tulisan dalam karya ini.

“Saya lebih suka menggunakan medium secara minimun iaitu arang atas kanvas dalam menghasilkan lukisan genre abstrak ini,”katanya.

Pameran berkumpulan kali ini mempamerkan 12 karya daripada lapan artis dari kumpulan Titikmerah yang bermula 16 Ogos hingga esok.

Orang ramai yang ingin menghayati karya pelukis lain yang terbabit dalam pameran itu boleh mengunjungi Artemis Art di Publika@Dutamas.

INFO

PAMERAN PRIMER FOR A LANGUAGE

• ARTIS: 8

• KARYA: 12 karya

• TARIKH: 16 Ogos hingga 16 September 2017

• LOKASI: Artemis Art. Lot 21 & 22, Level G4 Publika@Dutamas, Blok C5 Solaris Dutamas, No 1 Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur

• TELEFON: 03-62111891

• FACEBOOK: www.facebook.com/ArtemisArtKL

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 9:49 AM