KLOPP (tengah) idam tiga mata di Anfield.
KLOPP (tengah) idam tiga mata di Anfield.
AFP

Liverpool: Jurgen Klopp sedar beliau tidak mampu mengubah Liverpool dalam sekelip mata dan pengurus Reds itu berdepan satu lagi ujian apabila anak buahnya bakal melayan kunjungan West Bromwich Albion malam ini.

Kemenangan di Chelsea, Manchester City dan Southampton membuatkan segelintir penyokong Liverpool yakin mereka pasti layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan tetapi apa yang paling penting adalah kemampuan mereka mencabar gelaran liga musim ini.

Jangkaan itu mula terjejas apabila mereka tewas 0-2 di tangan Newcastle hujung minggu lalu dan kekalahan itu yang kedua buat Liverpool sejak dikendalikan Klopp, dua bulan lalu.

Kekalahan itu mengakibatkan Liverpool terdampar di tangga kelapan Liga Perdana dan hanya dua anak tangga lebih baik ketika Brendan Rodgers dipecat, 4 Oktober lalu.

Perlawanan menentang Albion malam ini boleh menjadi kayu pengukur sama ada Liverpool sudah mampu menyesuaikan diri dengan corak permainan dibawa Klopp.

Di gelanggang sendiri, mereka kelihatan agak goyah pada sebahagian besar musim - menang hanya tiga kali - dan persembahan menentang Swansea menyaksikan mereka memerlukan penalti James Milner.

Berita baik yang bakal diterima Klopp ialah Philippe Coutinho yang menjana kemenangan 4-1 ke atas Manchester City tiga minggu lalu, sudah sedia untuk diturunkan.

Coutinho masuk sebagai pemain gantian ketika Liverpool mengesahkan kedudukan di tangga teratas Liga Europa selepas seri tanpa jaringan dengan Sion.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:08 AM