Mas Ermieyati ketika berucap pada persidangan Puteri UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC, hari ini. FOTO Ghazali Kori
Mas Ermieyati ketika berucap pada persidangan Puteri UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC, hari ini. FOTO Ghazali Kori

Kuala Lumpur: Politik perpecahan dan kebencian yang berpaksikan amalan memfitnah, mencaci maki serta mempromosi pemikiran ekstrem akan memberi kesan cukup mendalam kepada pengikut dan penyokong parti, kata Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata realitinya amat mudah untuk merangsang perpecahan dan kebencian kerana ia boleh dilakukan menerusi kepetahan berkata-kata di tempat awam, kedai kopi dan pentas ceramah.

"Suasana politik di Malaysia pada hari ini mempamerkan satu sindrom politik perpecahan dan kebencian seolah-olah menjadi asas perjuangan parti politik pembangkang," katanya dalam ucapan dasar dan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Berucap di hadapan 977 perwakilan sayap UMNO itu, Mas Ermieyati berkata bagi mempromosi politik kemajuan dan kemakmuran, ia memerlukan kombinasi ilmu pengetahuan, kreativiti dan inovasi, perlakuan berhemah serta kemampuan menghayati perbincangan intelektual serta kematangan berfikir.

Anggota Parlimen Masjid Tanah itu menegaskan perbezaan politik dan pandangan bukan alasan untuk mana-mana pihak bertindak sesuka hati sehingga hilang nilai kesopanan.

"Apalah gunanya bergelar pemimpin jika kita hanya mampu memecah dan gagal menyatukan. Ingatlah, di hujung cerita - kita semua adalah saudara sewarganegara.

"Beradab dalam perbincangan tidak menjadikan kita manusia kaku. Kritik dan berilah pandangan pada sesuatu yang wajar diperbetulkan. Sebagai umat Islam, kita diajar memperbetulkan keadaan jika berlaku kepincangan dalam masyarakat," kata Mas Ermieyati, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Mas Ermieyati turut mengajak anggota UMNO terutama anggota Puteri supaya mengutamakan solidariti bersama pemimpin berbanding menjatuhkan sesama sendiri, ke arah kebaikan parti.

Beliau menarik perhatian apabila mengumpamakan UMNO ibarat 'sebuah rakit yang diikat oleh kesetiaan serta semangat solidariti dan jika bertelagah, perbuatan itu boleh disamakan seperti memotong tali yang menghubungkan kayu-kayu pada rakit'.

"Begitu juga dengan UMNO dan sayap Puteri. Tanpa solidariti, UMNO dan Puteri akan goyah. Dalam jangka panjang, UMNO akan musnah. Apakah sahabat seperjuangan sekalian mahu melihat rakit UMNO kita musnah? Tepuk dada, fikirlah dengan mendalam!.

"Jangan hanya dengan kelemahan-kelemahan pemimpin kita yang kecil, kita bertindak keterlaluan untuk menjatuhkan mereka. Ayuh, dengan kesedaran ini, saya menyeru kita semua, barisan Puteri bersolidariti dengan kepimpinan dan sesiapa sahaja yang menyuruh ke arah kebaikan parti," katanya yang disambut tepukan gemuruh di seluruh dewan.

Mas Ermieyati berkata dalam UMNO, sayap Puteri adalah ibarat 'anak di dalam keluarga yang kadang-kala mempunyai pendapat berbeza dan tidak sehaluan'.

Oleh demikian, beliau berkata setiap isu dan permasalahan parti diselesaikan dengan baik dan penuh semangat kekeluargaan yang erat.

"Di saat berlakunya pertelagahan dan perbezaan pendapat, di saat itu juga setiap entiti di dalam keluarga perlu untuk memainkan peranannya," kata beliau.

Ibarat anak-anak yang bijak dan matang, Mas Ermieyati berkata Puteri UMNO sebagai 'anak bongsu' parti terbesar orang Melayu membuat teguran ikhlas kerana rasa sayang dan mahu 'keluarga UMNO' itu terus kekal.

Perhimpunan sayap itu turut dihadiri tiga anggota Majlis Tertinggi UMNO iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Seri Hasan Malek dan Datuk Sohaimi Shahadan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut meluangkan masa meninjau perhimpunan itu. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 6:41 PM