PEMBELI boleh mendapatkan barangan dengan diskaun sehingga 50 peratus selain barangan serendah RM50.
PEMBELI boleh mendapatkan barangan dengan diskaun sehingga 50 peratus selain barangan serendah RM50.
Siti Zarinah Sahib


Penggemar fesyen kini boleh menikmati himpunan pelbagai gaya dari luar negara menerusi pembukaan rasmi butik pertama, Logo di Evolve Concept Mall Ara Damansara.

Ia memperkenalkan lebih daripada 500 jenama pereka antarabangsa dari seluruh dunia yang memberikan dimensi baru dalam bidang penggayaan apabila harga ditawarkan berpatutan bagi memenuhi keperluan wanita, lelaki dan kanak-kanak.

Gedung berkeluasan 100,000 kaki persegi itu menawarkan jenama tersohor dari serata dunia termasuk Itali, Perancis dan United Kingdom. Malah ada antaranya edaran eksklusif di Malaysia untuk jenama seperti Dsquared2, Just Cavalli, Maison Martin Margiela, MM6, Marc Jacobs, Cerruti 1881, Viktor & Rolf dan Vivienne Westwood.

Barangan ditawarkan termasuk gaun, celana, jaket, blaus, denim, kemeja-T, kemeja, skirt, sepatu serta aksesori yang boleh dimiliki pada harga 50 peratus daripada harga di butik sebelum ini.

Lebih menarik dengan tambahan diskaun, promosi, jualan tertutup serta acara khas buat ahli Logo dengan sesetengah barangan serendah RM50.

Berada dalam ruang pameran yang luas, anggun dan selesa, ia semestinya memberikan pengalaman beli-belah cukup memuaskan untuk pengunjung.

Menurut Pengarah Fesyen Logo Daniel Beltsos, di sebalik setiap jenama berkenaan, ada pereka yang akan menjadikan gedung beli-belah ini lebih bermakna.

Katanya, rekaan yang santai, kualiti memuaskan serta harga mampu milik menjadikan semua barangan ditawarkan bakal menjadi idaman lelaki dan wanita.

“Pengunjung tidak perlu bimbang kerana stok akan berubah dan ditambah setiap minggu mengikut tema selain diwarnai dengan pertunjukan fesyen, hiburan dan pelbagai aktiviti bagi menarik minat semua.

“Kami berhasrat menyediakan konsep runcit yang unik, pengalaman gaya hidup, harga berpatutan dengan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang,” kata Beltsos.

Dengan pengalaman yang cukup mengujakan ini kita tidak perlu berkelana jauh sehingga ke Eropah untuk memiliki barangan fesyen daripada pelbagai jenama berkenaan.

Lebih menggembirakan semuanya dijual pada harga berpatutan dan selain Ara Damansara, Logo juga mempunyai cawangan di Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang selain di Freeport Outlet A’Famosa, Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 5:01 AM