Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pemain Pertahanan Terbaik 2014 Razman Roslan tidak kecewa biarpun namanya tiada dalam senarai skuad negara menjelang kejohanan Piala AFF yang bermula minggu depan.

“Saya tidak kecil hati kerana jurulatih (Dollah Salleh) tentu mempunyai sebab tersendiri (tidak menyenaraikannya),” kata pemain Pahang itu.

Razman mengakui, anugerah pemain terbaik dimenanginya bukan ‘pasport’ untuk layak secara automatik kerana masih ramai pemain berkualiti yang mampu mengisi posisi pertahanan.

Katanya, Dollah mungkin sudah mengesan sejak awal lagi dia tidak mampu memikul tugas bersama pasukan kebangsaan pada kejohanan sebesar Piala AFF.

“Saya sudah lama bersama Dollah ketika bersama Pahang. Sebagai jurulatih, saya yakin beliau sudah menilai kemampuan sebenar saya sebelum membuat keputusan demi kebaikan negara.

“Saya tidak kecil hati kerana mungkin ada hikmah di sebalik kegagalan ini bagi memberikan peluang kepada saya berehat bersama keluarga selepas bersama Pahang,” katanya yang sedang bercuti di Korea.

Katanya, pemain perlu berusaha bersungguh-sungguh memenuhi harapan peminat yang mengharapkan kejayaan di pentas antarabangsa.

Episod kekecewaan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini tidak seharusnya dijadikan ukuran untuk pemain mudah menyerah kalah.

“Saya mendoakan skuad Harimau Malaya berjaya. Bagi pemain jadikan kegagalan perlawanan persahabatan sebagai pembakar semangat untuk bangkit.

“Tidak mustahil kejayaan menyebelahi pasukan negara jika pemain dapat mempamerkan semangat dan kesungguhan tinggi selain mengikut arahan jurulatih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:07 AM