BOOST menawarkan pelbagai hiburan, permainan dan gaya hidup lain   secara langsung dari aplikasi pengguna.
BOOST menawarkan pelbagai hiburan, permainan dan gaya hidup lain secara langsung dari aplikasi pengguna.

PENGENDALI e-dompet tempatan, Boost menambah kepelbagaian tawaran hiburan dan gaya hidup di dalam aplikasinya menerusi penyediaan pembelian kod Google Play khusus buat mereka yang ingin menikmati perkhidmatan berbayar di Google Play Store.

  Kod terbabit yang ditawarkan pada nilai RM10, RM20, RM50, RM100 dan RM200 itu membolehkan pelanggan menikmati hiburan dan perkhidmatan di Google Play Store tanpa perlu mendaftar kad debit atau kredit untuk akaun Google Play mereka.

  Dalam satu kenyataan, Boost menjelaskan, kemudahan itu tersedia menerusi kerjasamanya dengan peneraju teknologi pembayaran global, InComm Payments yang berperanan sebagai pengurus kod serta kad penghargaan digital dan fizikal untuk Google.

  Jelas Boost, ia juga sebahagian daripada kempen #BoostGotYou edisi Stay at Home yang bertujuan memastikan rakyat Malaysia terus menikmati hiburan, permainan dan penstriman ketika menyesuaikan diri dengan gaya hidup duduk di rumah.

  "Pengguna boleh membeli kod Google Play dengan memilih Do More pada aplikasi Boost disusuli Games dan seterusnya Game Credits untuk melihat variasi kod Google Play yang tersedia.

  "Selepas memilih nilai diinginkan dan pembelian selesai, pengguna dibekalkan dengan kod yang boleh digunakan untuk penebusan kredit pada Redeem yang terdapat di menu di dalam aplikasi Google Play.

  "Sejurus penebusan berjaya, kredit terbabit dapat digunakan untuk sebarang perkhidmatan berbayar termasuk untuk filem, buku dan permainan malah membeli aplikasi baharu," demikian menurut Boost.

  Selain Google Play, Boost turut menawarkan pelbagai hiburan, permainan dan gaya hidup lain yang boleh dinikmati secara langsung dari aplikasi pengguna.

  Antaranya termasuk pakej langganan Spotify dan Viu serta kredit permainan untuk Garena dan Steam.

  Di bawah kempen #BoostGotYou edisi 'Stay at Home', pelbagai penyelesaian inovatif disediakan Boost buat rakyat Malaysia untuk menjalankan tugas yang diperlukan dengan kemudahan tanpa sentuhan seperti membayar bil, tambah nilai prabayar, pembelian barangan dapur, perlindungan insurans Covid-19 dan membayar bahan api dengan Setel terus dari aplikasi Boost.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 7:15 AM