Anyonghaseyo!!! Dengan kemajuan teknologi sekarang ini, mudahnya akses terhadap akaun sulit seseorang artis bukan lagi perkara baru. Lihat saja bagaimana di Barat sewaktu lebih seratus artis wanita berputih mata tatkala gambar bogel mereka tersebar gara-gara digodam.

Namun berlainan pula kes yang menimpa penyanyi tampan Korea Selatan iaitu Rain, baru-baru ini selepas telefon bimbit teman wanitanya, Kim Tae Hee dilaporkan hilang. Habis semua foto dalam telefon itu tersebar dan paling menarik perhatian gambar bogelnya.

Tindakan itu sekali gus memaksa agensi Rain bertegas mengambil tindakan undang-undang terhadap individu di sebalik penyebaran itu. Mulanya cuma mahu berdiam diri namun akibat ramai percaya lelaki dalam foto berkenaan adalah penyanyi berkenaan membuatkan mereka nekad.

"Kami tidak pasti kenapa gambar berkenaan perlu disebarkan. Awalnya, kami cuma ketawakan hal berkenaan dan mahu melupakannya, namun ramai mula percaya lelaki itu adalah Rain.

"Kami beranggapan orang tidak akan terfikir itu adalah dia, sebaliknya lain yang terjadi dan foto itu bukan saja tersebar di sekitar Korea, bahkan hangat diperkatakan di China serta Jepun," kata wakil agensinya, Kim Nam Hong.

Sementara itu, penyanyi terbabit menafikan sekeras-kerasnya lelaki bogel dalam foto yang dikaburkan wajahnya itu adalah dia.

Begitulah harga yang harus dibayar apabila bergelar seorang selebriti, apa lagi nama sebesar Rain. Tentu sekali pelbagai pihak sentiasa mahu mencari peluang untuk mengorek segala kisah peribadinya.

Membuka Hallyu! minggu ini adalah kisah keterbukaan anggota kumpulan idol popular Girls' Generation yang membongkar sifat rakan anggota lain. Sunny terutamanya menjadi 'mangsa' pembongkaran oleh TaeTiSeo, Tiffany, dan Taeyeon.

Semuanya berpunca daripada Sunny yang menjerat dirinya sendiri sewaktu hadir pada wawancara di saluran MBC. Pada sesi itu, penyanyi berkenaan turut ditemani beberapa tetamu jemputan lain.

Pada wawancara terbabit, penyanyi itu bertanyakan kepada anggota kumpulannya yang lain siapakah antara mereka paling kuat minum alkohol tanpa menyedari dirinya terjerat.

Penonton kemudian bersorak dan menyebut nama anggota lain iaitu Lee Soon Gyu tanpa ada pun yang terfikirkan mengenai Sunny. Kemudian, Tiffany pula menghangatkan suasana bertanya balik kepada penonton siapa anggota Girls' Generation bernama Lee Soo Gyu?

"Kami akan mengirimkan CD kepada sesiapa juga yang berjaya meneka siapa gerangan itu dengan menjawab menerusi mesej teks," kata Tiffany lagi.

Taeyeon seterusnya menamatkan teka-teki itu dan mengatakan Sunny adalah anggota yang paling kuat minum antara mereka semua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:00 AM