SUASANA di kaunter pemeriksaan bagasi dan penumpang untuk penerbangan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
SUASANA di kaunter pemeriksaan bagasi dan penumpang untuk penerbangan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
Oleh Mohd Razlan Salleh


Kota Kinabalu: Enam pesawat AirAsia yang dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam ini akan menjadi kumpulan pertama tiba di Terminal Satu selepas Terminal Dua yang sebelum ini berfungsi sebagai Terminal Tambang Murah (LCCT), ditutup secara rasmi tepat 12 tengah malam ini.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Abd Hamid Mohd Ali berkata, pesawat pertama dari Sandakan akan mendarat di Terminal Satu KKIA pada 8.40 malam ini.

"Semua pesawat yang beroperasi di Terminal Dua sudah dijadualkan semula dan pesawat pertama akan tiba di Terminal Satu bermula malam ini.

"Manakala semua pelepasan pesawat AirAsia masih dilakukan di Terminal Dua sehingga lewat malam ini sebelum operasi dipindahkan sepenuhnya ke Terminal Satu bermula esok," katanya ketika ditemui di KKIA, di sini, hari ini.

Abd Hamid berkata, MAHB sudah menyediakan semua peralatan, sistem dan ruang pejabat untuk melancarkan operasi di lapangan terbang utama itu.

"Lima lagi penerbangan AirAsia yang bakal tiba malam ini adalah dari Tawau pada 10.40 malam, Kuala Lumpur dan Hong Kong (11.05 malam), Hangzhou (12.45 tengah malam) dan terakhir dari Guangzhou pada 3.15 pagi.

"Pesawat pertama AirAsia yang akan berlepas dari Terminal Satu KKIA menuju ke Taipei, 6.10 pagi esok," katanya.

Katanya, syarikat tambang murah itu mengendalikan 68 pendaratan dan pelepasan pesawat miliknya di KKIA setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 6:21 PM