PENGALAMAN sukar dilupakan 40 peserta ekspedisi dalam laluan tawan puncak Gunung Ledang.
PENGALAMAN sukar dilupakan 40 peserta ekspedisi dalam laluan tawan puncak Gunung Ledang.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Nyaris bertemu kepala air di samping kem menjadi lokasi untuk menginap digenangi air antara cabaran perlu dilalui 40 peserta ekspedisi Cabaran Pendakian Gunung Ledang baru-baru ini.

Program berkenaan terdiri daripada 26 peserta, 14 kru dan seorang pengiring menyaksikan pengalaman pendakian bermakna terutama buat mereka julung kali menyertai acara berkenaan.

Menurut peserta, Ahmad Danial Jamaludin, pelbagai perasaan sukar diungkap sepanjang dua hari satu malam pendakian itu.

Baginya yang tidak pernah menyertai sebarang program pendakian banyak perkara dipelajari termasuk mematangkan diri dalam kelangsungan hidup ketika dalam ekspedisi berkenaan.

“Mentaliti kena kuat dan yakinkan diri. Itu yang boleh mendorong saya serta kawan sampai ke puncak. Selain itu, ahli kumpulan lebih senior membantu berkongsi tip termasuk mengatasi hipotermia akibat kesejukan dengan meminta kami memastikan sentiasa kering meskipun tempat tidur sudah dipenuhi air.

“Maklumlah kami dilanda hujan lebat sejak petang hingga ke malam,” katanya.

Peluang melihat kepala air di depan mata juga antara pengalaman tidak boleh dilupakan anak jati Selangor itu.

“Seriau juga melihat kepala air di depan mata. Sungai menjadi lokasi kami berwuduk serta cuci pinggan mengalir deras dengan membawa kayu cukup besar. Selalu dengar dalam berita dan tidak sangka dapat menyaksikan sendiri.

“Sebalik rasa bimbang terselit rasa syukur kerana selamat daripada gelombang air cukup besar berkenaan,” katanya.

Pendapat itu turut disokong rakan pendaki, Muhammad Nazmi Mohamad Alwi.

“Pengalaman paling ‘melekat’ dalam ingatan ialah ketika berada di kem gajah tempat kami bermalam.

“Pada mulanya leka merakam ikan banyak di sungai bertukar menjadi pengalaman mengejutkan apabila melihat arus deras cukup besar dipanggil kepala air di depan mata.

“Bagi saya itu pengalaman cukup bermakna selain berjaya mendaki ke puncak dalam suasana ekstrem yakni cuaca begitu sejuk apabila hujan di malam harinya. Ia masih berbaloi apabila berpeluang menyaksikan matahari terbit dari puncak Gunung Ledang,” katanya.

Pengarah Program, Norashikin Abdul Rahman berkata tanggungjawab besar bukan saja memastikan program berjalan lancar tetapi keselamatan peserta ekspedisi selamat sampai ke puncak dan pulang ke kaki Gunung Ledang.

“Satu kelegaan buat saya serta kru apabila semua selamat sampai puncak dan kembali ke kaki gunung. Meskipun tahap kesukaran sederhana namun ada ‘check point’ tertentu mencabar buat sebahagian peserta.

“Dua check point sebelum ke puncak dinamakan ‘Killing Fitness Centre’ (KFC) laluan mencanak boleh menyumbang kepada ‘mental breakdown’.

“Alhamdulillah kolaborasi peserta serta kru sangat baik membuatkan sasaran untuk capai ke puncak sebelum jam 6.30 pagi berjaya digapai.

“Meskipun pengalaman ini getir dengan hujan membasahkan ruang tidur serta perlu mula mendaki seawal jam 3 pagi, semua anggap ia satu aktiviti lasak tetapi menyeronokkan,” katanya berharap dapat berkolaborasi dengan kelab luar untuk lebih pengalaman.

Bagi pendaki wanita, Nazariah Zainal, mendaki Gunung Ledang kali kedua membuatkan perjalanan ini lebih mudah berbanding pengalaman pertama mendaki.

“Perjalanan kali ini terasa lebih mudah, cumanya disebabkan hujan tidak berhenti sampai malam menyebabkan cuaca lebih sejuk daripada biasa. Sampai tidak terasa kaki apabila kebas.

“Meskipun melalui perjalanan sukar, bagi saya momen bermakna ialah apabila dalam kumpulan mendaki, kami saling beri kata semangat.

“Sebaik tiba di puncak dan laungan azan Subuh, saya rasa puas kerana perasaan itu tidak dapat digambarkan melainkan kita sendiri mendaki,” katanya.

Sementara itu, ketua ekspedisi Nik Syakir Nik Murad berkata sebalik keasyikkan mendaki, langkah keselamatan perlu diambil kira.

“Penting untuk ahli berada dalam kumpulan semasa mendaki. Ini penting bagi mengelak mereka sesat dan sering mendapat sokongan moral.

“Maklumlah kawasan kali ini boleh dikatakan cukup terkenal dengan kisah mistiknya. Malah saya sendiri mengalami pengalaman sukar dilupakan. Ia berlaku ketika saya ingin bangun bersiap untuk mula mendaki. Saya bangun awal kira-kira jam 1.30 pagi.

“Waktu itu saya tidur berhampiran dengan lokasi menempatkan barangan memasak. Saya terdengar orang tua menangis.

“Saya mengelak untuk memandang arah tangisan dan berlawan arah dengan bunyi berkenaan. Sebaik berjaya membuka mata serta merta bunyi itu hilang.

“Mujurlah saya sudah bersedia sedikit bekalan baik mental serta fizikal menyebabkan perkara ini saya dapat tangani dengan tenang,” katanya.

PROFIL:

KETUA PROJEK

NAMA: Norashikin Abdul Rahman

ASAL: Johor

HOBI: Memasak

UMUR: 22 Tahun

KETUA EKSPEDISI

NAMA: Nik Syakir Nik Murad

ASAL: Kuala Lumpur

HOBI: Bemain bola

UMUR: 21 tahun

PESERTA

NAMA: Nazariah Zainal

ASAL: Selangor

HOBI: Mendaki

UMUR: 21 tahun

NAMA: Ahmad Danial Jamaludin

ASAL: Selangor

HOBI: Melancong

UMUR: 20 tahun

NAMA: Muhammad Nazmi Mohamad Alwi

ASAL: Selangor

HOBI: Bermain gitar

UMUR: 21 tahun

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:01 AM