Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim (tengah) bersama Timbalannya Senior Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab (dua dari kiri) menunjukkan dua pistol yang dirampas. - Foto SYAMSI SUHAIMI
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim (tengah) bersama Timbalannya Senior Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab (dua dari kiri) menunjukkan dua pistol yang dirampas. - Foto SYAMSI SUHAIMI
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Polis Kelantan menahan empat lelaki dan merampas dua pistol dalam serbuan berasingan di Felda Chiku 6, Gua Musang dan Kampung Kulim, Pasir Puteh, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan pertama jam 3.30 pagi di Felda Chiku 6, polis menahan tiga lelaki berusia 22 hingga 29 tahun bersama sepucuk pistol .38mm bersama satu kelopak peluru di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga.

Katanya, tiga lelaki berkenaan turut mengedar dadah dengan dua daripada mereka berasal dari Pasir Mas yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai pasaran menjual dadah.

"Dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Pasir Puteh pada jam 4 petang, kita menahan seorang lelaki berusia 30 tahun bersama sepucuk pistol jenis Beretta yang diletak di bawah bantal bersama 16 butir peluru.

"Suspek dikehendaki kerana terbabit dalam empat kes termasuk mengugut bekas isterinya dengan membakar peluru di depan rumah mangsa pada 24 Ogos lalu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, hari ini.

Beliau berkata, kes pertama, seorang daripada suspek masih direman, seorang diberi jaminan oleh mahkamah dan seorang lagi jaminan polis untuk dijadikan sebagai saksi kes manakala bagi kes kedua, suspek direman sehingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 5:09 PM