BIARPUN sibuk bertugas sebagai doktor kerjaya seni dianggap pengubat tekanan.
BIARPUN sibuk bertugas sebagai doktor kerjaya seni dianggap pengubat tekanan.
Syanty Octavia Amry


Memegang status sebagai doktor bukanlah halangan untuk Syam Kamarul, 26, menjadi penyanyi dan terus berkarya serta tampil dengan lagu baru.

Mempertaruhkan single ketiga berjudul Hati, Syam tidak kisah andai singlenya lambat diketahui ramai.

Baginya, menghasilkan sesuatu yang terbaik dan disukai semua bukanlah mudah. Apatah lagi keadaan sekarang sukar diduga muzik jenis apakah yang pendengar gemari.

Hati adalah ciptaannya sendiri yang berkonsepkan balada. Sebelum ini Syam pernah tampil bersama Najwa Latif menerusi lagu Sahabat dan single solo berjudul Selama Ku Bernafas.

“Muzik adalah jiwa saya. Biarpun sudah mula sibuk bertugas sebagai doktor sejak setahun lalu, tapi susah untuk saya meninggalkan bidang muzik.

“Disebabkan itulah saya memilih untuk keluarkan single setiap tahun. Insya-Allah akan tampil dengan album mini jika tiada halangan. Lagipun kadang-kadang kerjaya sebagai doktor ini ada waktu-waktunya agak tertekan. Waktu itulah saya gunakan untuk memetik gitar sambil mencari ilham lagu baru,” katanya.

Berkongsi mengenai album, Syam atau nama sebenarnya Muhammad Hisyam Kamarulzaman berkata, dia menyasarkan empat lagu untuk album berkenaan.

“Saya sedar dengan kehadiran ramai penyanyi baru sekarang. Saya tampil dengan single juga bukanlah hendak bersaing sebaliknya ingin berkongsi muzik yang dibawa bersama orang lain.

“Tidak saya nafikan single sebelum ini kurang sambutan namun sekarang banyak cara yang boleh digunakan untuk mempromosikan single. Salah satunya adalah laman sosial. Walaupun lagu saya kurang dimainkan di radio saya masih aktif berkongsi aktiviti di laman Facebook dan Twitter.

“Saya berharap ia dapat membantu saya mendekatkan lagi diri dengan peminat selain berkongsi lagu yang saya hasilkan. Setiap single dan album yang bakal saya tampilkan juga nanti akan dikongsi di laman sosial untuk tatapan peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 1:36 PM