BEBERAPA wakil NGO menerima RM300,000 hasil kutipan dana World Hunger Relief yang dilakukan KFC dan Pizza Hut Malaysia sejak Jun lalu.
BEBERAPA wakil NGO menerima RM300,000 hasil kutipan dana World Hunger Relief yang dilakukan KFC dan Pizza Hut Malaysia sejak Jun lalu.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Sedihnya hati mengenangkan masih ramai rakyat negara ini yang hidup gelandangan, tidak keruan dan tanpa bantuan.

Pada saat negara dan dunia semakin pesat dengan pembangunan serta peningkatan tahap ekonomi, ada segelintir yang hidupnya bukan lagi kais pagi makan pagi, tetapi lebih kepada kais pagi dibawa hingga ke petang atau hari berikutnya.

Sukar membayangkannya dengan segala nikmat yang kita peroleh hari ini, masih ramai yang tidak mampu menikmati keperluan paling asas iaitu makanan.

Isu kelaparan kini bukan lagi masalah di negara mundur seperti Afrika dan beberapa kawasan di Asia, malah mula menjadi kebimbangan di seluruh dunia.

Meningkatnya ekonomi sesebuah negara bermakna meningkatnya kos sara hidup harian hingga membuatkan segelintir daripada kita tidak mampu menikmati hidangan lengkap setiap hari.

Bagi membantu membasmi isu kelaparan dunia ini, KFC dan Pizza Hut berganding bahu menganjurkan inisiatif ‘World Hunger Relief’ (WHR) menerusi jualan hidangan khas di premis masing-masing.

Inisiatif tahunan untuk membantu membasmi isu kelaparan dunia ini mula mengumpulkan dana sejak Jun lalu.

Sama seperti tahun sebelumnya, dana ini dijana menerusi penjualan set hidangan ‘World Hunger Meals’ KFC dan Pizza Hut (set hidangan yang dijual dalam promosi ini dikenakan caj tambahan 50 sen yang disalurkan ke tabung WHR), di samping tabung derma yang ditempatkan di setiap restoran KFC serta Pizza Hut.

Bermula pada tahun ini juga, satu lagi platform bagi mengumpul derma disediakan iaitu menerusi aplikasi dalam talian di laman Facebook WHR.

Bagi meningkatkan lagi jumlah sumbangan dan kesedaran awam, konsert amal WHR dianjurkan pada 14 November lalu sebagai acara kemuncak kempen tahunan KFC dan Pizza Hut ini.

Hasilnya, KFC dan Pizza Hut Malaysia mencapai kejayaan besar dengan meraih kutipan RM3.6 juta - RM1 juta lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, kempen WHR ini berkembang sepanjang tahun atas usaha dan kesedaran masyarakat Malaysia.

“Kerjasama anda memberi kesan yang amat besar dalam kehidupan keluarga kurang berkemampuan ini selain individu yang amat memerlukan bantuan dari segi makanan dan kewangan.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih di atas kemurahan hati masyarakat Malaysia yang menderma dan menyokong usaha kami ini.

“2015 adalah tahun di mana kita dapat melihat kempen WHR Malaysia semakin meningkat prestasinya bukan saja dari segi pengumpulan dana, malah dari aspek pengedaran dana ke seluruh negara,” katanya.

Selaras dengan tahun sebelumnya, sebahagian besar daripada hasil kutipan disalurkan ke seluruh negara menerusi kerjasama erat dengan pelbagai badan bukan kerajaan dan organisasi tempatan bagi membantu golongan miskin tegar, gelandangan dan mereka yang kelaparan secara lebih berkesan.

Sebahagian daripada kutipan itu juga akan disalurkan ke Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membantu individu kurang berkemampuan di seluruh dunia yang menderita kelaparan.

Lebih 1,000 hadir pada konsert amal itu yang menampilkan persembahan penyanyi tersohor tanah air antaranya Anuar Zain, Ning Baizura dan Misha Omar.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah hadir selaku tetamu kehormat yang turut bertindak sebagai penaung Diraja WHR.

Turut hadir, Ketua Depot Respons Kemanusiaan PBB, Belkacem Benzaza, wakil Program Makanan Dunia PBB, Madelene Sachi, Ketua Pegawai Perundangan Asia, Duta Add Hope & Deliver Hope Asia dan jurucakap WHR KFC & Pizza Hut Malaysia, Scha Alyahya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:45 AM