NOR Hakim (kanan) harus kembali berlatih bersama Titans.
NOR Hakim (kanan) harus kembali berlatih bersama Titans.
Malik Muhamad


“KAMI tidak kejam, sebaliknya masih memberi ruang perbincangan kepada pemain itu (Mohd Nor Hakim Hassan) untuk kembali membarisi skuad T-Team,” kata pengurus T -Team, Datuk Mohamad Kamil.

Bagaimanapun beliau yang sebelum ini sudah banyak kali bersabar berhubung kerenah pemain sayap itu menyerahkan keputusan itu kepada barisan kejurulatihan yang diketuai pengendali dari Indonesia Rahmad Darmawan.

“Kami tidak ada masalah untuk menerima kembali pemain itu sekiranya dia sudah insaf, namun ia bergantung kepada perbincangan dengan barisan jurulatih sama ada masih mahukan khidmatnya atau sebaliknya.

“Selepas hasil perbincangan itu, barulah kami putuskan dalam mesyuarat pengurusan berhubung status pemain kelahiran Kuala Terengganu itu bersama skuad The Titans.

“Berikutan itu dalam masa terdekat ini kami akan memanggil Nor Hakim untuk duduk semeja bagi berbincang mengenai kedudukannya bersama skuad The Titans memandangkan hanya tinggal tiga lagi baki saingan Liga Super,” katanya.

Sabtu lalu, pengurusan T-Team berang dengan sikap tidak profesional bekas pemain PKNS dan Terengganu itu yang menghilang diri selama 19 hari tanpa sebarang berita selain tidak menghadirkan diri menjalani latihan bersama skuad itu.

Sehubungan itu, pengurusan The Titans akan mengambil tindakan tegas terhadap pemain itu termasuk mahu menamatkan kontraknya sekiranya gagal melaporkan diri bersama skuad itu.

Mengulas lanjut Kamil memaklumkan hingga hari ini beliau masih belum mendapat sebarang perkhabaran daripada pemain itu sama ada melalui panggilan telefon, sistem pesanan ringkas atau melalui surat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 3:40 PM