Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka selesai tahun depan berikutan banyak masa diperlukan sebelum perjanjian berkenaan dapat dimuktamadkan.

RCEP adalah cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara 10 negara anggota ASEAN dan enam negara yang mempunyai FTA sedia ada dengan ASEAN iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, apabila perjanjian itu muktamad, RCEP berupaya menyumbang secara bersepadu dan signifikan kepada jaringan ekonomi serantau serta global selain berperanan menyediakan pembangunan ekonomi setara dan memperkukuh kerjasama ekonomi.

“Pada ketika ini, 10 pusingan rundingan berkaitan RCEP dijalankan beserta empat mesyuarat peringkat menteri sebagai tambahan.

“Menerusi rundingan terkini yang dijalankan, semua ketua negara dan pemimpin negara yang terbabit bersetuju meneruskan rundingan dan meminta semua perunding memperhebatkan usaha dalam memuktamad serta menghasilkan perjanjian berkualiti tinggi selain memberi manfaat kepada semua menjelang 2016,” katanya ketika berucap dalam sesi kenyataan bersama mengenai RCEP di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di sini, semalam.

Beliau berkata, kejayaan rundingan dicapai negara yang terbabit merangkumi tiga teras utama iaitu perdagangan barangan, perkhidmatan dan pelaburan selain rundingan berasaskan teks.

Selain itu, Najib berkata, RCEP turut bertindak menawarkan potensi besar dalam menambah baik taraf kehidupan berbilion rakyat dengan kapasiti dagangan dan pelaburan yang ditingkatkan.

“Kita berazam untuk memastikan RCEP dapat merealisasikan potensinya sebagai pemacu pertumbuhan dan kunci kepada integrasi ekonomi lebih luas di rantau ini,” katanya.

Kerjasama RCEP itu secara rasmi dimulakan pada November 2012 semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Kemboja yang membabitkan kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan lebih komprehensif serta berkesan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemimpin ASEAN mahu menyegerakan proses pelaksanaan RCEP berikutan peranan pentingnya dalam merealisasikan penyepaduan ekonomi.

Beliau berkata, tekanan bagi RCEP untuk mencapai kemajuan semakin meningkat susulan selesainya rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-aAsifik (TPPA) bulan lalu.

“Wujud banyak tekanan supaya proses pewujudkan RCEP disegerakan berikutan China tidak terbabit dalam TPPA. China perlu ada dalam mana-mana rundingan perdagangan utama.

“Pemimpin ASEAN akan bermesyuarat di Laos pada Mac 2016 bagi membincangkan kemajuan RCEP sempena Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 6:42 AM