Oleh Salman Hamat


Nibong Tebal: Sembilan gadis warga Thailand dan empat Vietnam diselamatkan polis selepas disyaki diekploitasi untuk tujuan seks hasil serbuan ke sebuah premis urutan refleksiologi di Bukit Tambun, Simpang Ampat, 9.15 malam tadi.

Serbuan membabitkan Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Anti Maksiat Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (IPDSPS).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata, wanita ditahan berusia lingkungan 19 hingga 36 tahun.

"Hasil pemeriksaan dilakukan kami merampas 17 kondom dipercayai bagi aktiviti seks, serta buku catatan kerja.

"Ketika pemeriksaan kesemua wanita berkenaan ditemui berada dalam premis berkenaan mereka kemudian dibawa ke IPDSPS untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes," katanya.

Manakala dalam serbuan ke sebuah premis hiburan enam wanita warga Vietnam ditahan selepas disyaki bekerja sebagai gadis pelayan (GRO).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 1:15 PM