Che Rosli diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi
Che Rosli diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Gambar Syamsi Suhaimi

Kota Bharu: Seorang bekas tentera berpangkat Sarjan dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Che Rosli Che Daud, 31, yang mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematianMohd Yusrizal Mat Zain, 34, dengan niat hendak menyebabkan sesuatu bencana tubuh menyebabkan kematian di hadapan sebuah rumah di Perumahan JPN Kok Seraya, Chabang Empat, Tumpat antara 10 hingga 11 pagi, 11 Ogos 2013.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang kerani maut selepas terkena letupan bom buatan sendiri yang diletakkan di atas sebuah kenderaan pelbagai guna dalam kejadian di Perumahan JPN Kok Seraya,Chabang Empat, Tumpat, dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 3:10 PM