Pertama kali tercalon dalam Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015), Aniq Communication Sdn Bhd berjaya melakar sejarah tersendiri apabila menggondol lima anugerah utama.

Menerusi telefilem Lorong Kecil Ke Syurga syarikat penerbitan yang masih bertatih ini merangkul trofi Drama Terbaik, Pengarah Terbaik Drama (Raja Mukhriz), Lakon TV Terbaik (Joe Sidek), Penyunting Terbaik Drama (Akashdeep Singh) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Raja Ilya).

Sudah tentu kemenangan itu memberikan kegembiraan tidak terhingga buat penerbitnya, Mohamed Ecbal Mohd Ismail, 48.

Ikuti temu bual wartawan RAP, Ridzuan Abdul Rahman bersama Ecbal mengenai visinya mengekalkan kejayaan yang diraih.

RAP: Tahniah di atas kejayaan yang diraih. Sejak bila syarikat ini ditubuhkan?

Ecbal: Aniq Communication mula beroperasi pada 2010 dan setakat ini kami baru menerbitkan tiga drama iaitu Bukan Takdir Aku arahan Raja Ahmad Alauddin untuk TV9 pada 2012 dan drama Ayah arahan Allahyarham Joeza Rasidi untuk Astro pada tahun sama.

Lorong Kecil Ke Syurga pula bersiaran di TV9 pada Ramadan lalu. Drama ini dibintangi Faizal Hussein, Izz Ilham, Raja Ilya, Eliza Mustafa dan Pyan Habib. Skripnya dihasilkan oleh Joe Sidik dan mengisahkan golongan gelandangan.

RAP: Apa rahsia kemenangan drama ini?

ECBAL: Seperti yang saya katakan tadi, cerita ini mengangkat isu gelandangan. Kisahnya mengenai bekas banduan bernama Azmi yang hidup sebagai gelandangan. Dia bertemu Haikal yang jauh lebih muda dan kembali bersemangat untuk meneruskan hidup apabila mengetahui pemuda itu anak kandungnya.

Naratif berkembang dengan baik dan mampu mengikat penonton untuk terus setia menonton. Ramai yang suka dengan karya ini dan beri maklum balas positif.

RAP: Daripada sudut apa pemilihan skrip dibuat?

ECBAL: Saya menilai kualiti sesebuah karya berdasarkan skrip. Sebaik ada dalam tangan saya akan kaji terlebih dahulu. Mana yang bagus barulah dihantar ke stesen TV untuk dapatkan kelulusan. Isu gelandangan sesuatu yang baru. Apabila saya usulkan kepada Raja Mukhriz, dia pun tertarik dengan cerita ini dan berjanji menghasilkan sebuah drama yang baik.

RAP: Bagaimana dengan komitmen dan tanggungjawab anda selepas ini?

ECBAL: Saya kini memikul tanggungjawab besar terutama dalam mengekalkan kualiti drama terbitan Aniq Communication. Saya kena serius dan teliti menilai sesebuah skrip sebelum menerbitkannya.

Kemenangan ini menjadi batu loncatan untuk saya terus maju ke depan. Sebelum ini produk syarikat saya susah masuk stesen TV kerana tak ramai yakin dengan kemampuan kami. Maklumlah syarikat baru dan kurang dikenali. Diharapkan kemenangan ini dapat mengubah persepsi terhadap syarikat saya. Terima kasih kepada TV9 dan Media Prima kerana sudi beri peluang. Terima kasih juga barisan juri kerana memilih karya ini sebagai drama terbaik serta mendominasi beberapa kategori lain.

RAP: Boleh kongsi drama terbaru yang bakal diterbitkan?

ECBAL: Kami sudah ada beberapa skrip drama bergenre aksi, masyarakat dan komedi. Pemilihan pengarah serta pelakon akan dibuat sebaik mungkin bagi memastikan drama terbitan Aniq Communication Sdn Bhd berkualiti dan menghiburkan penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 8:18 AM