Shah Alam: Hujan lebih dua jam menyebabkan beberapa kawasan antaranya Seksyen 13, Seksyen 9, Seksyen U8 dan Batu Tiga di sini, dilanda banjir kilat petang tadi.
Hujan sejak 1 tengah hari itu menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air selain kenderaan terperangkap.
Turut terjejas adalah operasi Stesen Komuter Batu Tiga kerana landasan kereta api di situ dinaiki air.
Jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika dihubungi berkata, perkhidmatan komuter dan kereta api di stesen berkenaan tidak dapat beroperasi buat sementara waktu kerana landasannya dinaiki air.
Setakat ini, jalan utama keluar masuk ke bandar ini turut mengalami kesesakan lalu lintas namun masih terkawal.