MUSTAPA (lima dari kiri) pada perasmian ICE, semalam.
MUSTAPA (lima dari kiri) pada perasmian ICE, semalam.

Kuala Lumpur: Analisis kos-faedah (CBA) bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dijalankan kini berada di peringkat akhir dan akan dibentangkan ke Kabinet dalam tempoh 10 hari lagi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian menyeluruh mengenai TPPA akan dijalankan dan kerajaan hanya akan menyatakan pendirian selepas mengetahui maklumat CBA.

“Kajian kini berada di peringkat akhir dan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh 10 hari lagi. Namun, ia masih belum dapat didedahkan kepada umum sebelum dibentangkan untuk pengetahuan Kabinet terlebih dulu,” katanya selepas merasmikan Pusat Bersepadu untuk Eksport (ICE), semalam.

Menurutnya, kerajaan juga masih memberi ruang kepada perdebatan untuk isu ini dan merancang mengadakan sesi pertemuan terbuka.

“Kerajaan akan mengadakan dua sesi perbincangan terbuka yang akan diadakan pada Disember ini dan Januari tahun depan bagi memberi ruang pelbagai pihak mengemukakan pandangan masing-masing,” katanya.

Teks akhir dokumen TPPA merangkumi 30 bab kini boleh diakses di laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mulai Khamis lalu.

Laman web itu turut memuatkan latar belakang dan penerangan selain FAQ atau ‘soalan lazim’ bagi memberi kefahaman lebih mendalam mengenai TPPA.

Sementara itu, Mustapa berkata, ICE diwujudkan bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berminat memasarkan produk mereka ke pasaran eksport.

Ia berfungsi sebagai pusat sehenti yang menawarkan maklumat berkaitan pasaran eksport merangkumi sesi rundingan, maklumat eksport, pembiayaan, peraturan kastam, pensijilan dan standard serta logistik.

“Kewujudan ICE dijangka mampu melonjakkan jumlah eksport kepada 23 peratus menjelang 2020. Setakat ini, terdapat 1,300 syarikat tempatan yang mengeksport produk mereka dan jumlahnya dijangka melonjak setiap tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 6:35 AM