Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Aspek keselamatan skuad bola sepak negara yang akan bertandang ke Palestin awal bulan depan terus mencetuskan kebimbangan susulan keadaan semakin teruk di negara bergolak itu.

Perkembangan terkini itu menyebabkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertindak pantas dengan menghantar surat rayuan kedua kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) semalam.

Tindakan berkenaan disahkan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin walaupun rayuan pertama badan induk bola sepak negara ditolak sebelum ini.

Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee akan beraksi di Stadium Dura yang terletak di Hebron pada 12 November untuk menentang Palestin dalam aksi Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019.

“Surat rayuan berkenaan dihantar hari ini (semalam) selepas mengambil kira perkembangan terkini.

“Kami memohon perlawanan berlangsung di stadium berkecuali atau ditangguhkan. Keselamatan pasukan menjadi keutamaan kami,” kata Hamidin.

Jelas Hamidin, beliau turut menghubungi pihak Persekutuan Bolasepak Arab Saudi dan mengesahkan gergasi bola sepak Asia itu tetap dengan keputusan tidak akan beraksi untuk perlawanan menentang Palestin di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat, Khamis ini.

FIFA pada bulan lalu memberikan jaminan keselamatan kepada selepas menolak rayuan FAM untuk beraksi di gelanggang berkecuali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 8:37 AM