Pemain wanita negara (kanan) cuba melepasi pemain Palestin dalam saingan Piala Asia Wanita. FOTO FAM
Pemain wanita negara (kanan) cuba melepasi pemain Palestin dalam saingan Piala Asia Wanita. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad bola sepak wanita negara, Jacob Joseph memuji persembahan anak buahnya apabila berjaya melakar kemenangan sulung dalam kempen Kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 selepas menewaskan Palestin 2-0 semalam.

Jelasnya, kejayaan meraih tiga mata di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat di Palestin itu dilihat hadir pada waktunya selepas skuad negara sebelum itu tumbang 0-4 kepada Thailand.

Katanya, pemain menunjukkan kesungguhan dan bermain sebagai satu unit untuk menidakkan harapan tuan rumah yang mahu menewaskan Malaysia sebelum perlawanan.

"Semuanya (pemain) 'steady' dan saya tengok kita ada beberapa peluang dan pada babak kedua kita bermain lebih baik. Tentangan yang sengit dari lawan tapi pemain kita bermain sebagai satu unit dan akhirnya kita menang," katanya.

Pada aksi itu, dua gol negara dijaringkan menerusi Andrea Lee pada minit ke-57 sebelum ketua pasukan, Steffi Sarge Kaur menggandakan kelebihan hasil sepakan percuma pada minit 81.

Sementara itu, Steffi mengakui gembira dapat menghadiahkan kemenangan buat negara meskipun sedikit terkilan apabila pasukan tidak layak ke pusingan akhir tahun depan.

Begitupun, kemenangan berkenaan masih belum mampu membawa skuad negara ke pusingan akhir Piala Asia di India tahun depan apabila dijangka Thailand bakal menamatkan kedudukan di tangga pertama kumpulan.

Menerusi format kelayakan itu, hanya juara kumpulan saja akan layak secara automatik ke peringkat seterusnya.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad negara dan Thailand mengumpul tiga mata namun berada di tangga kedua di belakang skuad Gajah Perang itu yang memiliki kelebihan gol.

Thailand akan melengkapkan aksi terakhir Sabtu ini dengan menentang Palestin dan dijangka mudah melepasi halangan tuan rumah, sekali gus muncul juara kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 4:54 PM