Istanbul: Neymar menjaringkan dua gol ketika membantu Brazil mengalahkan Turki 4-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa sekali gus memberikan kemenangan kelima buat jurulatih Dunga yang memegang jawatan berkenaan selepas Piala Dunia lalu.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sukru Saracoglu itu turut menyaksikan Turki melebarkan rekod kekalahan kepada enam perlawanan.

Persembahan Turki diejek penyokong sendiri ketika mereka bersiap sedia untuk menentang Kazakhstan pada kempen kelayakan Euro 2016.

“Mungkin saya berada di tahap terbaik karier, tetapi saya masih belum puas hati. Saya akan berusaha lebih kuat lagi dan mahu membantu Barcelona serta skuad kebangsaan Brazil,” kata Neymar.

Neymar memulakan jaringan di minit ke-19 hasil hantaran lintang Fernandinho sebelum membuat rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Turki, Suleyman Demirel.

Jaringan itu bermakna Neymar muncul pemain Brazil pertama menjaringkan lima gol berturut-turut sejak Nilmar melakukannya pada 2009.

Lima minit kemudian, kedudukan berubah 2-0 apabila pertahanan Suat Kaya menjaringkan gol sendiri selepas diasak Luiz Adriano.

Mevlut Erding hampir merapatkan kedudukan, tetapi tandukannya tersasar.

Brazil menambah jaringan menerusi Willian dan selepas rehat, Neymar menambah gol kedua peribadi yang juga gol keempat pasukannya pada minit ke-60.

Brazil yang masih belum melepaskan sebarang gol sejak dibimbing Dunga, bakal menamatkan kalendar 2014 dengan aksi persahabatan menentang Austria di Vienna pada Rabu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:06 AM