Oleh Irfan Khairi

Saya suka melancong-siapa tidak suka bukan. Ia dapat meluaskan pandangan melihat negara orang. Apabila perihal perniagaan membawa saya ke luar negara, pasti saya ambil peluang itu untuk melancong dan melawat tempat menarik. Bulan ini saja saya akan ke Amerika Syarikat, Qatar dan juga UAE untuk perihal perniagaan. Begitu juga ketika cuti sekolah menjadi waktu membawa keluarga melancong ke negara orang sekiranya ada rezeki.

Sememangnya bercuti ke luar negara memakan belanja yang lebih tinggi. Namun dengan sedikit perancangan kewangan, tidak kira melawat untuk tujuan perniagaan atau bersama keluarga, ia dapat mengurangkan kos dan menjimatkan bajet.

Kali ini, saya ingin senaraikan 10 tip bajet dalam menjimatkan kos melancong apabila ke negara luar berdasarkan pengalaman saya melancong sebelum ini.

1. Selidik waktu dan musim sesuai untuk melancong

Seringkali ada waktu terbaik untuk melancong yang mana kos pengangkutan hingga ke kos penginapan lebih murah. Ia juga dikenali sebagai musim 'off peak' yang berbeza untuk setiap negara. Waktu tertentu seperti ketika musim cuti sekolah sesebuah negara atau ketika terdapat sebarang acara seperti acara sukan, musim perayaan atau cuti umum, ia membuatkan harga tambang kapal terbang dan hotel semakin tinggi.

Beri masa untuk menyelidik waktu yang dapat menjimatkan wang anda melalui Internet.

2. Tempah tiket penerbangan dan hotel lebih awal

Membeli tiket penerbangan dan menempah hotel sekurang-kurangnya enam bulan sebelum waktu melancong sememangnya langkah bijak dalam menjimatkan wang. Syarikat penerbangan dan hotel atau apartmen juga ingin memenuhkan tempat mereka dengan kadar yang cepat. Caranya, mereka menawarkan harga terbaik sekiranya melakukan penempahan awal.

Sekali lagi, gunakan Internet untuk melakukan penyelidikan. Lakukan perbandingan harga tambang pergi dan balik antara syarikat penerbangan berbeza. Kini terdapat banyak laman web portal hotel dan apartmen seluruh dunia yang sangat memudahkan anda melakukan perbandingan. Kadangkala, walaupun tempat penginapan sama, laman web berlainan memberi harga yang berbeza!

3. Menukar wang asing

Terlanjur berbicara mengenai perbandingan, jangan lupa melakukan perbandingan apabila ingin menukar wang ke mata wang negara asing. Anda juga dapat melihat perbezaan kadar pertukaran wang asing daripada pengurup wang berbeza.

Bergantung kepada jumlah wang yang anda ingin tukarkan, pasti anda juga dapat menjimatkan wang, sekiranya tidak beratus ringgit, mungkin anda boleh berjimat berpuluh ringgit.

4. Apartmen lebih murah daripada hotel

Sekiranya melancong bersama keluarga, fikirkan untuk menginap di apartmen, bukan hotel. Kos menginap di apartmen sering kali lebih murah daripada hotel. Memang benar, ia tidak mempunyai perkhidmatan mengemas dan kemudahan canggih seperti gimnasium, kolam renang atau restoran hebat, namun sering kali ketika melancong, tidak sempat pula menggunakan kemudahan ini.

Menetap di apartmen bukan saja dapat menjimatkan kos dari segi harga, malah kita boleh menggunakan kemudahan dapurnya untuk memasak sendiri. Ini tentu menambah penjimatan kos makan minum.

5. Gunakan elaun bagasi apabila bersama keluarga

Apabila melancong keluar negara bersama keluarga, syarikat penerbangan memberi elaun bagasi yang lebih berat. Gunakan kesempatan ini untuk membawa makanan segera yang boleh dipanaskan atau dimasak di negara destinasi untuk mengurangkan kos. Elaun bagasi ini juga membolehkan anda membawa peralatan memasak seperti periuk nasi elektrik. Jangan lupa membawa beras sekiranya elaun bagasi membenarkan.

Namun sebagai peringatan, perlu juga periksa negara destinasi sama ada negara terbabit membenarkan pengunjung membawa makanan dari luar ke negara mereka atau sebaliknya. Negara seperti Australia mempunyai undang-undang dan peraturan membawa makanan dari negara luar yang lebih ketat.

Sekiranya boleh membawa makanan dari Malaysia dan masak di apartmen, kos melancong akan dapat dijimatkan berkali-kali ganda!

6. Pilih lokasi tempat penginapan sesuai

Ketika memilih lokasi penginapan, pastinya lokasi yang jauh dari bandar lebih murah berbanding lokasi di tengah bandar. Tetapi perlu juga ingat kemudahan pengangkutan sekiranya tempat penginapan jauh dari tempat tarikan pelancong.

Sebaiknya cari tempat yang tidak terlalu dekat dan tidak terlalu jauh dan mempunyai jaringan akses pengangkutan awam yang mudah untuk ke mana jua. Dengan menggunakan Google Map, anda boleh melakukan penyelidikan sendiri.

Pada masa sama, pertimbangkan sama ada kos pengangkutan awam lebih baik untuk ditanggung ataupun kos menyewa kereta sendiri terutama untuk keluarga yang besar. Menggunakan kereta sewa apabila kena dengan keadaan, bukan saja dapat mengurangkan kos pengangkutan, tetapi juga dapat menjimatkan masa.

7. Tarikan percuma

Apabila melancong, lawati destinasi tarikan pelancongan percuma atau lakukan aktiviti yang tidak menggunakan kos yang tinggi. Terdapat muzium awam, galeri seni awam dan seumpamanya yang dibuka kepada orang ramai secara percuma. Tempat menarik untuk menghayati pemandangan juga sering kali percuma.

Ketika melancong, sekiranya tidak perlu, elakkan membeli-belah terutama jika barangan sedia ada di Malaysia. Luangkan lebih banyak masa mengambil gambar atau video kenang-kenangan bersama keluarga untuk disimpan menjadi memori melancong bersama keluarga tercinta.

Bak kata pepatah, jauh pemandangan, luas pandangan. Sekiranya ada rezeki, sememangnya ramai yang berminat untuk melancong. Menggunakan teknologi Internet kini, melalui penyelidikan awal dan perancangan yang baik, banyak kos dapat diminimumkan untuk menjadikan pengalaman melancong anda lebih menarik dan berjimat!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 6:17 AM