PERCUTIAN lebih menyeronokkan jika disertai ibu bapa.
PERCUTIAN lebih menyeronokkan jika disertai ibu bapa.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

SERONOK sebenarnya jika dapat bercuti bersama seisi keluarga.

Ini kerana bukan mudah untuk ahli keluarga berkumpul bersama lebih-lebih lagi jika masing-masing sudah berkeluarga.

Percutian menjadi lebih bermakna sekiranya turut disertai oleh ibu bapa meskipun sudah bergelar warga emas.

Begitu pun, membawa warga emas dalam sesuatu percutian bukanlah mudah dan pelbagai aspek perlu dipertimbangkan.

Antaranya, destinasi percutian yang menjadi pilihan dan anda perlu membuat kajian mengenai keadaan cuaca, penginapan yang mesra warga emas, kemudahan makanan halal (bagi yang beragama Islam) dan sebagainya.

Jika melancong ke negara empat musim pula, pastikan pakaian yang dibawa untuk ibu bapa adalah pakaian bersesuaian.

BAWA bekalan ubat-ubatan secukupnya.
BAWA bekalan ubat-ubatan secukupnya.

Pakaian yang tidak sesuai boleh menyebabkan anda atau ibu bapa jatuh sakit kerana perubahan cuaca.

Untuk penginapan pula, jangan kedekut menempah hotel yang selesa buat ibu bapa.

Pilih penginapan yang menyediakan pelbagai kemudahan yang mesra warga emas dan lokasinya pula terletak tidak terlalu jauh dengan lokasi ingin dilawati.

Selain itu, bekalan ubat-ubatan secukupnya juga penting, digalakkan membawa ubat-ubatan untuk situasi luar jangka seperti paracetamol, plaster, krim pelembap, minyak sapu dan sebagainya.

Sebaiknya pilih waktu penerbangan yang tidak terlalu awal atau lewat. Sediakan juga jadual perjalanan bagi memudahkan anggaran masa diperlukan dan pastikan lokasi ingin dilawati kelak adalah lokasi 'mesra warga emas.'

Akhir sekali, gunakan sebaiknya kemudahan yang disediakan, contohnya barisan keutamaan untuk warga emas ketika di lapangan terbang, kerusi roda dan sebagainya.

Warga emas umpama anak kecil dan mereka sememangnya memerlukan jagaan rapi ketika bercuti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 6:30 AM