Kenderaan pengimbas jalan Institut Kerjaraya Malaysia (IKRAM) membuat imbasan permukaan jalan di kawasan berisiko Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), Rabu lalu, berikutan banyak kemalangan maut. - Foto Bernama
Kenderaan pengimbas jalan Institut Kerjaraya Malaysia (IKRAM) membuat imbasan permukaan jalan di kawasan berisiko Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), Rabu lalu, berikutan banyak kemalangan maut. - Foto Bernama

Chukai: Sebanyak 41,000 saman dikeluarkan terhadap pesalah trafik di sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sejak ia dibuka secara berperingkat bermula 2011 hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata kesemua saman itu dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan trafik termasuk perangkap had laju.

Katanya bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, 24,000 saman dikeluarkan berbanding 14,000 dalam tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan saman sebanyak 10,000 pada tahun ini berikutan peningkatan operasi dan penguatkuasaan yang kita jalankan di sepanjang lebuh raya itu.

“Selain memasang perangkap had laju, kita juga turut mengadakan sekatan jalan raya dan mengeluarkan saman terus kepada pengguna yang melakukan

kesalahan," katanya di sini, hari ini.

Rosli berkata dalam tempoh lima tahun LPT2 beroperasi, 1,468 rondaan dilaksanakan di sepanjang laluan 184 kilometer dari Jabor, Kemaman ke Gemuruh, Kuala Nerus.

Justeru, pihaknya akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi serta memasang lebih banyak perangkap had laju di laluan berkenaan sebagai usaha mengurangkan kemalangan maut.

Beliau berkata, awal bulan depan, pihaknya akan mendapat bantuan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk melakukan rondaan di LPT2.

“Kita juga akan bekerjasama dengan peronda lebuh raya untuk melakukan rondaan bagi menangani kes kemalangan di laluan tersebut," katanya.

Berdasarkan statistik semasa, sebanyak 1,991 kes kemalangan direkodkan dan meragut 85 nyawa sejak lebuh raya itu beroperasi pada Januari

2011. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 10:18 PM