KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 340.9, LPT2 yang menyebabkan Syed Ahmad Irfan Fatihi maut manakala abangnya, Syed Ahmad Hakim Hilmi Syed Syahidi, 18 parah.
KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 340.9, LPT2 yang menyebabkan Syed Ahmad Irfan Fatihi maut manakala abangnya, Syed Ahmad Hakim Hilmi Syed Syahidi, 18 parah.
HM Digital

Dungun: Pengguna Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) meminta kerajaan negeri menyenaraikan Kilometer 341 sebagai lokasi sering berlaku kemalangan.

Terbaru, pelajar tingkatan dua, Syed Ahmad Irfan Fatihi Syed Syahidi, 14, meninggal dunia kelmarin selepas hampir 24 jam bertarung nyawa akibat terbabit kemalangan di kawasan berkenaan sehari sebelum itu.

Kemalangan jam 10.30 pagi itu berlaku apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail dipandu bapa saudara mangsa, Syed Ahmad Fazrul Syed Mohammad, 30, dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang dipercayai terbabas sebelum terbalik.

Pengguna LPT2, Syed Azmi Syed Mohamad, 39, berkata, kemalangan maut kerap berlaku membabitkan jarak 200 meter hingga 300 meter sekitar kawasan itu.

Katanya, kerajaan negeri perlu menyenaraikan lokasi terbabit sebagai lokasi kemalangan sebagai peringatan kepada pengguna supaya tidak memandu laju.

“Selain itu, papan tanda amaran juga perlu diletakkan di lokasi berkenaan,” katanya.

Wan Mohd Alimi Wan Ghani, 34, pula mengatakan ramai penguna lebuh raya tidak menyedari di kawasan itu sudah ramai yang menjadi korban.

“Setiap hari saya berulang-alik melalui lebuh raya ini untuk ke tempat kerja di Kemaman dan kerap terserempak dengan kemalangan maut di situ.

“Saya hairan, biarpun lokasi itu jalannya lurus namun kerap berlaku kemalangan, saya percaya puncanya adalah memandu melebihi had laju,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri Ir Rosli Othman berkata, beliau kesal masih berlaku kemalangan maut di LPT2 biarpun pelbagai usaha sudah dilaksanakan pihak berwajib.

“Jun lalu, kerajaan negeri melalui Syarikat PLUS Malaysia Bhd memasang tiga kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Perasing, Kijal dan Cheneh sebagai mempertingkatkan tahap keselamatan pengguna lebuh raya.

“Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk menambah enam lagi kamere AES di lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan,” katanya.

Menurutnya, enam kamera terbabit bukan berniat hendak menghukum tetapi bertujuan mendidik pengguna lebuh raya supaya berhati-hati sekali gus mengelak mereka terbabit dengan kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 10:35 AM