Operasi Khas LPT2 di Hentian Rehat dan Rawat Ajil, hari ini. FOTO Syahirah Abdullah
Operasi Khas LPT2 di Hentian Rehat dan Rawat Ajil, hari ini. FOTO Syahirah Abdullah
Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Sebanyak 65 saman dikeluarkan PDRM dalam tempoh sejam Operasi Khas Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di Hentian Rehat dan Rawat Ajil, di sini,hari ini.

Kebanyakan saman dikeluarkan membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan.

Selain mengesan pemandu yang memandu melebihi had laju, operasi sama turut mengesan jenayah lain termasuk narkotik, individu yang mempunyai waran tangkap dan pengguna yang melakukan kesalahan lalu lintas lain.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata, operasi membabitkan pegawai dan anggota trafik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu itu bermula hari ini hingga Isnin depan.

"Selain operasi had laju, kita akan melakukan rondaan sepanjang lebuh raya ini dengan kekuatan 10 kereta peronda, 17 motosikal berkuasa tinggi trafik dan sebuah helikopter.

"Kita harap operasi ini dapat mengurangkan kemalangan jalan raya di LPT2," katanya dalam sidang media di Hentian Rehat dan Rawat Ajil, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 1:20 PM