BERSAMA pelakon teater muzikal Aladdin - A Musical Comedy, Peter Davis.
BERSAMA pelakon teater muzikal Aladdin - A Musical Comedy, Peter Davis.
BERLATIH untuk  pementasan bermula 20 November depan.
BERLATIH untuk pementasan bermula 20 November depan.
Oleh Wahi Aziz


Pembabitan pelakon dan aktivis seni Joanna Bessey, 39, dalam dunia teater bukan perkara baru terutama dalam kalangan peminat seni teater.

Sama ada di depan atau belakang tabir, profil pelakon yang popular menerusi sitkom Kopitiam ini dengan teater sudah terserlah.

Pementasan seperti An Enemy Of The People pada 2008, Dreamgirls (2013), Seussical The Broadway Musical (2014) dan terbaru, Love Journey - A Nation Of Two pada 25 Julai hingga 2 Ogos lalu membuktikan komitmen dan kemampuan Joanna di kerusi pengarah.

Kini, Joanna yang mesra disapa Jo Be ini giat membuat persiapan untuk pementasan teater kanak-kanak terkenal, Aladdin - A Musical Comedy pula.

Dalam rang­ka persediaan menjelang pementasan pada 20 hing­ga 29 November depan, Joanna berkata, sesi latihan dalam tempoh kurang sebulan adalah cabaran utama mengendalikan produksi kali ini.

“Namun ia tugas dan cabaran yang menyeronokkan. Saya beruntung kerana pementasan ini disokong pelakon dan tenaga produksi yang hebat sekali gus melancarkan proses persiapan kami.

“Tidak saya nafikan perasaan gementar makin dirasai sekarang, tapi pada masa sama saya seronok dan teruja,” katanya.

Turut berlakon dalam teater ini ialah Peter Davis, Rashid Salleh, Tria Aziz dan Jayson Phuah sebagai Aladdin.

Joanna yang ditemui pada sesi latihan teater adaptasi berbahasa Inggeris itu di studio Enfiniti Academy, Petaling Jaya, kelmarin berkata, fokus utama sekarang adalah memperkemaskan setiap aspek teater itu dengan sokongan pasukannya.

“Kami memulakan sesi latihan kira-kira seminggu lalu membabitkan kira-kira 65 orang pelakon dan kru. Sebahagian besar pelakon membabitkan kanak-kanak dan remaja kerana bersesuaian dengan temanya.

“Pelakon kanak-kanak dan remaja ini dipilih menerusi sesi uji bakat baru-baru ini yang membabitkan pelajar seni saya dan beberapa individu luar, selain barisan pelakon profesional sedia ada.

“Bagi saya, paling penting adalah aspek disiplin dan beraksi dalam tekanan yang tinggi. Setakat ini, saya gembira dengan kelancaran persiapan ini,” katanya yang mengolah karya itu dengan menggabungkan elemen asal dan moden.

Katanya, memandangkan ia adalah sebuah muzikal, penekanan utama diberikan pada pemilihan lagu, nyanyian dan tarian dalam kalangan pelakon.

“Saya akui untuk aspek cerita, dialog dan plot ini tidak terlalu berat berbanding persiapan untuk nyanyian dan tarian. Dua aspek itu menuntut persiapan dan disiplin lebih besar.

“Namun, itu tidak bermakna kami ambil mudah dialog dan lakonan. Setiap satu bahagian itu saling berkaitan dan tetap memerlukan latihan,” katanya.

Joanna berkata, dia berharap pementasan terbitan Enfiniti Academy itu dapat menarik seisi keluarga kerana keunikan kandungan yang dipertaruhkannya.

“Saya menyiapkan kandungan Aladdin yang berbeza dan kontemporari pada kali ini dengan gabungan konsep asal dan moden termasuk kostum, lagu dan peralatan pentas.

“Saya boleh katakan karya ini istimewa kerana banyak unsur jenaka dan santai dalam jalan ceritanya. Ia pasti menghiburkan,” katanya.

Ia bakal dipentaskan pada 20 hingga 29 November di PJ Live Arts Theater, Jaya One, Petaling Jaya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi www.tix.my atau Facebook EnfinitiAcademyOnStage.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 8:27 AM