SISWA Universiti Malaya seronok sertai aktiviti di Youthzibition.
SISWA Universiti Malaya seronok sertai aktiviti di Youthzibition.
PELBAGAI aktiviti menarik diadakan untuk belia.
PELBAGAI aktiviti menarik diadakan untuk belia.
PELBAGAI aktiviti menarik diadakan untuk belia.
PELBAGAI aktiviti menarik diadakan untuk belia.

Wartawan Basyar Mustapha turun padang menjenguk acara Youthzibition di kampus anda

Ratusan siswa institusi pengajian tinggi awam membanjiri acara Youthzibition yang berlangsung di kampus mereka, baru-baru ini.

Siswa Universiti Malaya (UM) dan Universiti Selangor Shah Alam (Unisel) meluangkan masa menyertai pelbagai aktiviti menarik dan membawa pulang pelbagai hadiah eksklusif yang ditawarkan pada acara yang berlangsung selama sehari di kampus terpilih itu.

Siswa UM, Ahmad Adha Nordin, 20, menyertai acara itu bersama rakan-rakannya sementara menunggu kelas petang mereka bermula dan turut serta dalam pelbagai aktiviti diadakan.

"Saya dapat tahu mengenai acara ini melalui rakan dan tidak sangka pula banyak aktiviti menarik boleh kami sertai.

"Saya mengambil bahagian dalam acara sepak bola dan melawat beberapa booth lain.

"Bagus juga ada acara sebegini di kampus dan kami dapat pelbagai maklumat mengenai pelbagai acara akan datang di bawah naungan Youth United," katanya.

Siswi UM, Anna Nur Syahirah Sidek, 20, ceria menyertai aktiviti di booth GenY Harian Metro seperti peraduan Instagram dan mendaftar diri menjadi agen Gen Y.

"Saya rasa aktiviti sebegini bagus untuk pelajar mendapat pelbagai maklumat dan kami boleh menyertai pelbagai aktiviti.

"Kru pun sangat peramah dan memang seronok menyertai Youthzibition ini.

"Harap Youthzibition datang lagi nanti dan sediakan pelbagai aktiviti lain," katanya.

Siti Aisyah Hassan, 22, dari Unisel mencuri sedikit masa makan tengah harinya untuk menyertai Youthzibition.

"Semasa makan tengah hari saya dengar beberapa kawan bercakap mengenai acara ini lalu saya pun tidak berlengah menyertainya.

"Nyata ia tidak menghampakan, apatah lagi kami tak perlu pergi jauh untuk turut serta dalam acara seperti karnival ini kerana ia diadakan dalam kampus kami," katanya.

Pelajar juga dapat berborak dan bergambar dengan ahli kumpulan Bunkface yang turut turun padang menceriakan suasana Youthzibition.

Youthzibition melawat 30 kampus terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor untuk mendekati siswa dengan lebih dekat.

Booth Gen Y Harian Metro juga mengadakan aktiviti peraduan melukis secara bebas dan pemenang di setiap kampus akan mendapat sebuah kamera polaroid baru, baucar H&M dan pelbagai lagi hadiah menarik. Pelajar juga boleh melanggan akhbar Harian Metro, Berita Harian atau New Straits Times versi elektronik dengan harga promosi RM20 untuk setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:02 AM