SUAMI sokong keputusan Farawahida berhijab.
SUAMI sokong keputusan Farawahida berhijab.
Oleh Ramlah Zainal


Selepas berumah tangga, nama penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu, Farawahida agak menyepi.

Namun, apabila mula berhijab namanya kembali diperkatakan peminat. Justeru, tidak hairanlah kemunculan penyanyi berkulit hitam manis yang mendapat gelaran ‘Kajol Malaysia’ pada majlis pelancaran Zikir Perdana baru-baru ini mencuri perhatian media.

Ketika ditemui, Farawahida menjelaskan perubahan itu adalah atas kerelaan diri dan bukan kerana mengikut trend atau dipaksa mana-mana pihak.

Pemilik nama sebenar, Farawahida Razali, 29, ini turut mengakui hidupnya lebih tenang sejak bertudung pada Mac lalu.

“Saya tidak kekok pakai tudung kerana pernah bertudung ketika bersekolah dulu.

“Selepas berkahwin, saya mula mengenakan tudung secara perlahan-lahan sejak tahun lalu.

“Saya juga tampil bertudung ketika membuat persembahan dan terus kekal dengan imej itu sehingga sekarang,” katanya.

Farawahida berkata, suami individu paling gembira melihat perubahan itu.

“Suami tidak pernah memaksa saya bertudung kerana dia tahu saya berkecimpung dalam bidang hiburan.

“Namun, apabila melihat saya bertudung sudah tentulah dia sangat gembira dan menyokong keputusan ini.

“Bukan saja suami, emak dan ahli keluarga juga gembira dengan imej baru saya.

“Doakan semoga saya kekal berhijab sampai bila-bila,” katanya.

Farawahida berkahwin dengan Abdul Shukur Mohd Zain, 30, di Sentosa Villa Resort, Taiping, Perak pada 16 Disember 2013.

Ditanya kenapa dia enggan mendedahkan perubahan imejnya itu kepada media dan peminat sebelum ini, Farawahida menegaskan dia punya alasan tersendiri untuk berbuat demikian.

“Perubahan ini saya lakukan secara perlahan-lahan. Alhamdulillah, ramai peminat di Instagram memberi maklum balas positif apabila saya kerap memuatkan gambar berhijab sebelum ini.

“Saya juga belum bertudung penuh ketika itu dan tidak mahu orang fikir saya mahu menunjuk-nunjuk.

“Maklumlah, ramai artis yang sudah mula berhijab dan saya tidak mahu orang menganggap saya sekadar mengikut trend,” katanya.

Pada masa sama, dia bersyukur kerana undangan persembahan majlis makan malam dan korporat tidak pernah putus walaupun sudah berhijab.

“Saya bersyukur kerana penganjur memahami dan masih percayakan bakat saya.

“Apapun, imej baru ini tidak membataskan saya untuk bergaya dan mengikuti perkembangan fesyen semasa. Asalkan sopan dan tidak menjolok mata saya akan pakai.

“Saya juga masih pakai seluar atau jeans apabila menjayakan pesembahan,” katanya.

Muncul dengan single baru

Selepas dua tahun menyepi, Farawahida pernah muncul dengan single Jangan Tanya Aku Lagi pada 2011 yang turut mendapat perhatian radio tempatan.

Malah, single ciptaan komposer Manusia Putih dan liriknya oleh Nawfal itu turut dijadikan lagu tema drama Ayer Mata.

Mengenai single baru, Farawahida berkata, dia masih mencari material sesuai.

“Saya bergerak sendiri sejak tujuh tahun lalu. Ia bukan perkara mudah kerana segala urusan saya buat sendiri.

“Begitu juga soal bajet, saya kena keluar modal sendiri untuk single baru ini. Jadi pastilah saya mahu hasil yang terbaik,” katanya.

Berkongsi perkembangan lain, Farawahida juga berhasrat menceburi dunia bisnes sebagai jaminan masa depannya.

“Suami menyokong saya menceburi bidang perniagaan.

“Selain merancang buka restoran, saya juga ini mengusakan butik busana Muslimah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 11:07 AM