FARAWAHIDA. FOTO Aziah Azmee
FARAWAHIDA. FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Farawahida, 37, teringin menimang cahaya mata sejak berkahwin tahun lalu namun akur rezeki itu belum kesampaian.

Farawahida atau nama sebenarnya Farawahida Razali berkata sudah melakukan pelbagai usaha namun tidak mahu dirinya tertekan memikirkan soal zuriat.

"Belum ada rezeki, doakan ya. Itulah impian saya tapi tak adalah sasaran pun dengan umur sekarang. Kalau kata nak memang siapa pun yang tak nak bukan?

"Tapi kita sudah cuba yang terbaik namun mungkin belum lagi rezeki. Kami (dengan suami) pun sudah pergi jumpa pakar buat pemeriksaan dan alhamdulillah tiada masalah pun.

"Kalau nak stres pun, tak naklah stres pada umur sekarang. Kita 'enjoy' saja, mungkin rezeki Allah nak bagi di sana, wallahualam," katanya ditemui pada pelancaran drama Demi baru-baru ini.

Pada acara itu, Farawahida memperdengarkan lagu baharunya berjudul Aku Tak Sempurna yang juga runut bunyi drama lakonan Keith Foo, Puteri Aisyah, dan Ashraf Muslim itu.

Menurutnya, dia berharap lagu terbabit akan kembali memeriahkan kerjaya seninya semula.

"Kalau ikut, tawaran menyanyi memang sentiasa ada. Apapun, saya anggap lagu ini sebagai pertaruhan sempena 'comeback' dalam industri," katanya.

Terdahulu, penyanyi lagu Tanpamu itu mendirikan rumah tangga dengan Zulkifli Alias, 37 pada 19 Mac 2021. Bagaimanapun pasangan terbabit belum dikurniakan zuriat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 1:21 PM