PELAJAR Indonesia menunjuk perasaan di Pekanbaru, Riau,  kelmarin, membantah industri minyak sawit yang mereka dakwa menjadi punca kepada kebakaran hutan dan ladang di wilayah itu hingga menyebabkan jerebu sejak dua bulan lalu.
PELAJAR Indonesia menunjuk perasaan di Pekanbaru, Riau, kelmarin, membantah industri minyak sawit yang mereka dakwa menjadi punca kepada kebakaran hutan dan ladang di wilayah itu hingga menyebabkan jerebu sejak dua bulan lalu.
Agensi

Jakarta: Jurucakap Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BPNB) Sutopo Purwo berkata semalam, jerebu akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan kini mula melanda Jakarta.

Bagaimanapun, ia belum sampai ke peringkat serius.

“Asap tipis akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan sampai di Jakarta. Itu yang dapat dinyatakan menerusi pengawasan seharian kami semalam (kelmarin),” katanya.

Asap kebakaran dari Sumatera dan Kalimantan sebelum ini tersebar luas hingga menjejaskan kualiti udara di Malaysia, Filipina, Singapura dan selatan Thai, selain di kedua-dua wilayah itu sendiri.

Menurut Sutopo, pantauan menerusi satelit Himawari menunjukkan asap yang ditiup angin berada di Laut Jawa dan sebahagian Jakarta terjejas.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Luhut Binsar Pandjaitan berkata, kerajaan Indonesia sudah menyediakan kapal perang untuk memindahkan mangsa jerebu di Kalimantan dan Sumatera.

Katanya, enam kapal perang milik tentera dan dua milik syarikat kerajaan kemungkinan besar digunakan untuk menempatkan kanak-kanak dan bayi dari kawasan dilanda jerebu akan disediakan jika keadaan memaksa.

Luhut berkata demikian selepas mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Dia juga berkata, Indonesia akan meminta bantuan beberapa negara laagi untuk mengatasi masalah itu.

“Kami akan menghubungi Kanada, Amerika Syarikat dan Perancis untuk mendapatkan bantuan pesawat pemadam api,” kata Luhut.

Menurutnya, setakat ini tiga pesawat digunakan untuk memadamkan kebakaran iaitu BE-200, Pelican dan Air Tractor.

“Indonesia akan meminta Kanada menghantar bantuan dalam bentuk pesawat yang boleh membawa sejumlah besar air. Negara itu mempunyai pengalaman canggih dalam hal ini. Jika kami dapat lima lagi BE-200, keadaan menjadi lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:09 AM