KEBAKARAN membabitkan lima kelas di tingkat tiga SK Laka Selatan yang terbakar. FOTO Ihsan JBPM
KEBAKARAN membabitkan lima kelas di tingkat tiga SK Laka Selatan yang terbakar. FOTO Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli

Changlun: Lima kelas di tingkat atas Sekolah Kebangsaan (SK) Laka Selatan, di sini hampir musnah dalam kebakaran, hari ini.

Ketika kejadian, murid di sekolah terbabit sudah pulang ke rumah masing-masing dan kebakaran disedari pengawal sekolah yang kemudian menghubungi bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 3.09 petang.

Katanya, pasukan diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhammad Al Amin Abu Bakar bersama 10 anggota bergegas ke lokasi dan dibantu 10 anggota BBP Arau dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Changlun.

"Kebakaran membabitkan lima kelas di tingkat tiga, sebelum merebak ke bumbung.

"Anggota berjaya mengawal api daripada terus merebak pada 3.40 petang, sebelum padam sepenuhnya.

"Peratusan kemusnahan dianggar 70 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 5:44 PM