Cyberjaya: Persepsi negatif terhadap keadaan ekonomi semasa negara tidak mencerminkan senario pasaran pekerjaan yang sebenar kerana asas ekonomi negara masih kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), Johan Mahmood Merican berkata, walaupun kadar pengangguran naik sedikit daripada 3.0 peratus kepada 3.2 peratus, kadar itu masih dianggap sebagai guna tenaga penuh.

“Keadaan ekonomi semasa kita masih terurus dan kerajaan memantau keadaan dengan teliti serta telah mengambil langkah-langkah awal.

“Ini termasuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan mendaftar lebih ramai graduan untuk Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Skim Pengurusan Kebolehpasaran Graduan (GEMS) daripada lebih 10,000 pada tahun ini kepada 15,000 pada 2016,” katanya.

Beliau berkata, walaupun terdapat penyederhanaan dalam sektor tertentu, terutamanya dalam industri minyak dan gas apabila pengambilan pekerja terjejas disebabkan harga komoditi rendah, keadaan itu telah diimbangi oleh pertumbuhan dalam sektor lain.

Selain itu, katanya, melalui kerjasamanya dengan JobStreet.com, TalentCorp memperoleh gambaran lebih baik mengenai pasaran pekerjaan berikutan syarikat pekerjaan dalam talian itu dapat mengesan jumlah pekerjaan yang diwujudkan.

Sementara itu, Pengurus Negara JobStreet.com Chook Yuh Yng berkata, walaupun terdapat persepsi negatif terhadap ekonomi, jumlah pekerjaan yang dipaparkan di laman webnya lebih kurang sama dengan tahun lalu.

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah pekerjaan yang dipaparkan di JobStreet.com adalah 1.5 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu. Bagaimanapun, jumlah terbabit susut satu peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding suku sama tahun lalu.

“Berdasarkan kajian prospek pasaran pekerjaan kami, untuk tiga suku yang lalu, kami menyaksikan sentimen agak negatif dari segi ramai majikan kurang mengambil pekerja dan orang ramai lebih berhati-hati,” katanya.

JobStreet dan TalentCorp baru-baru ini menjalin kerjasama untuk membangunkan graduan yang bersedia untuk industri bagi Zon Pembabitan Industri Talent Corp (Ind-E-Zone) yang memastikan mereka lebih bersedia dalam proses mencari kerja.

Ind-E-Zone adalah pusat maklumat kerjaya yang menghubungkan pelajar dengan kandungan berkaitan industri dan mendidik mereka mengenai peluang latihan dan kerjaya dalam industri utama Malaysia. JobStreet akan bekerjasama dengan TalentCorp untuk meningkatkan aktiviti Ind-E-Zone termasuk program duta pelajar, latihan hari pasaran dan ceramah kerjaya universiti.

Menjelang akhir tahun ini, sebanyak 11 Ind-E-Zone akan diwujudkan di universiti awam di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 7:04 AM