ANGGOTA BOMBA mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA BOMBA mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba
Oleh Yahya Awang


Taiping : Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah apabila kereta dinaiki dihempap muatan besi yang terkeluar dari treler yang terbabas di jalan Beruas-Trong dekat Taiping kira-kira 10 malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.03 malam sebelum sepasukan anggota bersama satu jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setiba di lokasi berhampiran kawasan air terjun Trong itu pihaknya mendapati kereta dihempap muatan besi.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila treler membawa muatan besi terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

"Ini menyebabkan muatan besi dibawa treler itu terkeluar lalu menghempap kereta berhampiran. Pemandu kereta berusia 43 tahun tersepit dan maut di tempat kejadian manakala penumpang di bahagian hadapan berusia 36 tahun parah," katanya.

Menurutnya, mangsa dikeluarkan menggunakan alat keselamatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sementara mangsa yang parah dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

ANGGOTA BOMBA mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam sebuah kenderaan. FOTO ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 9:37 AM