Reuters

Barcelona: Selepas mengharungi tiga perlawanan La Liga, juara bertahan Barcelona tewas dua kali dan terbaru, mereka ditundukkan 2-1 oleh Sevilla apabila Michael Krohn-Dehli meledak satu gol selain membantu menghasilkan satu lagi jaringan, awal pagi semalam.

Pemain antarabangsa Denmark Krohn-Dehli menjaringkan gol pada minit ke-52 hasil hantaran Kevin Gameiro untuk memberikan pendahuluan buat Sevilla sebelum dia membuat hantaran lintang yang disudahkan Vicente Iborra, enam minit kemudian.

Barca yang bermain tanpa Lionel Messi yang cedera, kecewa apabila empat percubaan mereka sekadar singgah di palang lawan dan ia adalah kekalahan di tempat lawan yang kedua berturut-turut. Sebelum ini, Barca dibelasah 4-1 oleh Celta Vigo.

Bagi Sevilla, kemenangan itu berjaya membalas dendam apabila tewas di tangan musuh sama pada aksi Piala Super Eropah, Ogos lalu.

Sepakan percuma yang diambil Neymar terkena tiang sebelum melantun ke palang pada minit ke-23 ketika penjaga gol Sergio Rico sudah tertewas dan gerakan susulan yang cuba dilakukan Gerard Pique pula tidak kesampaian.

Rembatan Luis Suarez dari luar kotak penalti sejurus sebelum rehat turut terkena palang, tetapi kerapuhan benteng pertahanan Barca membawa padah apabila lawan menjaringkan gol pada babak kedua.

Neymar menyempurnakan penalti pada penampilan ke-100 pada minit ke-74 selepas bola terkena tangan Benoit Tremoulinas dan sejurus kemudian, cubaan pemain gantian Sandro Ramirez turut singgah di palang Sevilla.

Barca kini mengumpul 15 mata hasil tujuh perlawanan, satu mata di belakang pendahulu, Villarreal.

“Memang kecewa apabila tewas dengan cara ini sedangkan kami memiliki beberapa peluang dan mereka pula menghasilkan gol menerusi dua peluang yang diperoleh,” kata pemain tengah Barca Ivan Rakitic.

“Kami kini perlu bangkit dan menang pada perlawanan seterusnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:02 AM