KONTINJEN PUO ceria selepas muncul juara Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Politeknik Malaysia buat kali kelapan.
KONTINJEN PUO ceria selepas muncul juara Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Politeknik Malaysia buat kali kelapan.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Politeknik Ungku Omar (PUO) Perak muncul juara kali kelapan berturut-turut Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Politeknik Malaysia Ke-8 di Stadium Mini Sekolah Sukan Malaysia Pahang, di sini, baru-baru ini.

Membariskan 25 atlet lelaki dan wanita, PUO mengumpul sembilan emas, empat perak dan lima gangsa, selain turut merangkul anugerah juara atlet lelaki dan wanita kejohanan.

Tempat kedua kejohanan tiga hari itu berpihak kepada Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) Kedah yang meraih lima emas, dua perak dan empat gangsa.

Ketiga milik Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Perak yang mendapat dua emas, tiga perak dan dua gangsa.

Kejohanan dua tahun sekali itu menghimpunkan lebih 300 atlet mewakili 27 Politeknik seluruh negara yang bertanding dalam 36 acara padang dan balapan.

Sebanyak lapan rekod baharu kejohanan berjaya dicipta pada edisi kali ini.

Ketua kontijen PUO, Zaharudin Mohd Nor berkata, pengalaman luas atlet yang pernah bersaing pada kejohanan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan menjadi faktor utama PUO mengekalkan kejuaraan kali kelapan.

“Atlet kami berjaya memecah dua rekod kejohanan dalam acara merejam lembing wanita dan lompat kijang lelaki,” katanya.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Sukan Politeknik (MSP), Abdul Karim Jaafar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:08 AM