IDRIS Jusoh. FOTO Salhani Ibrahim
IDRIS Jusoh. FOTO Salhani Ibrahim
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Pemberhentian penajaan terhadap pelajar baru ke Universiti Taylor’s oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) adalah hak agensi itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, agensi berkenaan berhak membuat sebarang keputusan tanpa perlu merujuk kementeriannya.

"MARA tidak perlu bagi alasan kepada saya. Saya juga tidak mengetahui banyak mengenai perkara itu," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan biasiswa kepada pensyarah dan pelajar Universiti Sunway di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media bahawa MARA akan menghentikan pemberian biasiswa kepada pelajar tajaannya di Universiti Taylor.

Semalam, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata keputusan itu dibuat atas pelbagai sebab.

Bagaimanapun katanya, pelajar tajaan MARA yang sedang menuntut di universiti berkenaan dibenarkan meneruskan pengajian.

Sementara itu ketika berucap, Idris mengalu-alukan lebih banyak yayasan dan pihak korporat tampil menaja biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.

Pada majlis sama, Yayasan Tan Sri Dr Jeffrey Cheah mengumumkan penajaan biasiswa bernilai RM45 juta untuk lebih3,000 pelajar dan tenaga pengajar universiti itu pada tahun ini.

Pemberian biasiswa itu adalahyang tertinggi dalam sejarah penubuhan yayasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 6:24 PM