Kuala Terengganu: Seorang guru berusia 30 tahun maut apabila Proton Saga dipandunya bertembung dengan Honda City dari arah bertentangan di Kilometer 135 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu dekat Felda Belara, di sini, 7 pagi tadi.

Ketika kejadian, mangsa, Ahmad Mahyuddin Mohammad, 30, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Tok Jiring, di sini menuju ke Sekolah Kebangsaan Felda Belara.

Bagaimanapun Proton Saga dipandunya bertembung dengan Honda City dari arah Setiu menuju ke Kuala Terengganu sebaik melepasi selekoh di Felda Belara.

Akibat insiden itu, lelaki berusia 30-an yang memandu Honda City parah di bahagian kaki dan badan manakala guru berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, kereta dipandu Ahmad Mahyuddin tercampak ke kiri jalan dan anggota bomba terpaksa menggunakan alat khas untuk mengeluarkan mangsa tersepit sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.7

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:05 PM