KESAN tembakan pada kenderaan dinaiki mangsa dan dua pengawal peribadi.
KESAN tembakan pada kenderaan dinaiki mangsa dan dua pengawal peribadi.
Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Seorang Datuk Seri cedera selepas kenderaan pelbagai guna yang dinaiki bersama dua pengawal peribadi ditembak lebih 8 das oleh dua lelaki menaiki motosikal di Bulatan Loke Yew, Cheras, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, ahli perniagaan itu dikatakan mengalami kecederaan pada tangan kiri, kaki dan kepala kerana terkena serpihan cermin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, dua lelaki yang menaiki motosikal itu menembak dari atas laluan bertingkat ketika kenderaan dinaiki mangsa berhenti kerana kesesakan lalu lintas di bulatan itu.

"Saksi kejadian memberitahu kedua-dua suspek memakai topeng muka melarikan diri sejurus seorang daripadanya melepaskan tembakan.

"Pengawal peribadi mangsa yang memandu kenderaan itu kemudiannya memandu ke Balai Polis Cheras yang terletak berhampiran lokasi sebelum mereka membuat laporan polis," katanya.

Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat kesan tembakan pada cermin bahagian penumpang belakang dan bumbung kenderaan.

"Motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 8:05 PM