Oleh Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Tiga cedera termasuk dua terkena tembakan selepas dua ahli perniagaan diserang lelaki bersenjatakan parang ketika bersarapan pagi di warung di Jalan Empat, Off Jalan Sow Lin di sini, kira-kira 10.30 pagi tadi.

Saksi kejadian, Lau Song Yen, 60, yang bekerja di warung itu berkata, kejadian berlaku ketika dua ahli perniagaan sedang bersarapan pagi ditemani dua pengawal peribadi.

Katanya, dua suspek lelaki menaiki motosikal yang bersenjatakan parang kemudian menyerang mereka.

"Suspek kemudian melibaskan parang dan terkena bahu seorang daripada ahli perniagaan terbabit.

"Pengawal peribadi seorang ahli perniagaan dipercayai bergelar datuk melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek," katanya ketika ditemui.

Lau berkata, seorang penjenayah turut cedera ditembak manakala anak saudaranya berusia 17 tahun yang menjadi pembantu warung turut cedera di bahagian punggung akibat terkena peluru yang tersasar.

Penjenayah yang cedera ditahan orang ramai sebelum diserah kepada polis dan dibawa ke hospital manakala rakannya melarikan diri.

Ahli perniagaan dan pekerja yang cedera turut dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin mengesahkan kejadian tersebut dan berkata ia disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 4:42 PM
LOKASI kejadian. FOTO Norizuan Shamsuddin
LOKASI kejadian. FOTO Norizuan Shamsuddin