MANGSA yang maut di tempat kejadian.
MANGSA yang maut di tempat kejadian.
Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah kenderaan tidak dikenal pasti di Jalan Kuching menghala ke pusat bandar raya berhampiran bulatan Segambut, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, wanita berkenaan, Ho Mei Theng, 20, yang menunggang motosikal berkenaan dalam perjalanan menghantar ibu angkatnya ke tempat kerja di Kampung Attap.

Jurucakap polis trafik berkata, siasatan awal mendapati, motosikal yang dinaiki mangsa bergesel dengan kereta jenis Mazda 3 sebelum hilang kawalan dan terbabas.

“Kedua-duanya tercampak di atas jalan raya sebelum mangsa digilis kenderaan tidak dikenal pasti yang kemudiannya melarikan diri,” katanya.

Mangsa maut di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat manakala ibu angkatnya parah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 3:01 PM