Oleh Ibrahim Isa

Muar: Dua lelaki berusia 19 tahun dan rakannnya 21 tahun terlepas hukuman gantung sampai mati dan kini menunggu ihsan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar untuk menentukan tempoh penjara selepas Mahkamah Tinggi Muar, mendapati mereka bersalah membunuh dan merogol remaja perempuan pada Disember 2010.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman itu berikutan Akta Perlindungan Kanak-kanak 2001 yang melarang tertuduh bawah 18 tahun dijatuhkan hukuman bunuh.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz, mendapati kedua-dua tertuduh bersalah membunuh remaja perempuan, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, di kebun kelapa sawit Kampung Parit Ju Darat, Tongkang Pechah, Batu Pahat, pada 15 Disember 2010.

"Bagi pertuduhan pertama iaitu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, mereka didapati bersalah dan terpulang kepada ihsan Sultan Johor untuk menentukan tempoh hukuman penjara.

"Tertuduh pertama berusia 21 tahun yang turut dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, dipenjara 10 tahun dan empat sebatan bermula tarikh tangkapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 3:42 PM