VIVIAN (kiri) lega  mara ke separuh akhir.
VIVIAN (kiri) lega mara ke separuh akhir.

Kuala Lumpur: Pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo-Ng Hui Lin terus melakar kejutan di Grand Prix Korea Selatan apabila menumpaskan pilihan keempat dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 15-21, 21-18, 21-8 di suku akhir semalam.

Vivian-Hui Lin yang baru digandingkan bulan lalu mengambil masa sejam tujuh minit untuk memenangi perlawanan itu seterusnya menempah slot separuh akhir hari ini berdepan pilihan pertama dari Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan yang sebelum itu mengalahkan rakan senegara, Eom Hye Won-Jung Kyung Eun 21-19, 21-15.

“Saya rasa lega mara ke separuh akhir esok (hari ini),” kata Vivian yang sebelum ini bergandingan dengan Woon Khe Wei dan memenangi beberapa kejuaraan termasuk pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, kunci utama kejayaan mereka adalah beraksi dengan konsisten walaupun diheret ke rubber set.

Bagaimanapun hanya mereka saja yang meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas pemain perseorangan lelaki Tan Meng Kian dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin kecundang.

Meng Kian kalah kepada pilihan ketujuh dari Jepun, Kazumasa Sakai 12-21, 21-15, 26-28, manakala Iskandar pula tersungkur di tangan pemain remaja tuan rumah, Yim Jong Woo 22-20, 20-22, 16-21.

Turut tersingkir gandingan beregu campuran negara yang juga pilihan keempat, Wong Fai Yin-Chow Mei Kuan kepada pasangan Korea Selatan, Choi Sol Kyu-Shin Seung Chan 28-30, 21-18, 19-21.

Beregu lelaki negara, Lim Khim Wah-Ow Yao Han pula tewas kepada pasangan tuan rumah yang juga pilihan kedua, Ko Sung Hyun-Shin Baek Choel 16-21, 24-22, 22-24.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:09 AM