Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pasukan Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor Bahru membuktikan keunggulan apabila mencatat hatrik mempertahankan juara Kejohanan Bola Baling Perempuan Kebangsaan Zon Selatan 2014, baru-baru ini.

Kejohanan di Padang Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM) Sikamat itu menyaksikan mereka menewaskan SK Tengku Mariam Batu Pahat 5-0.

Kejohanan disertai 14 sekolah kluster dari Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Ketua jurulatih SK Kompleks Sultan Abu Bakar Sheyful Izam Ramli berkata, pihaknya bangga pemain mendominasi setiap perlawanan.

Katanya, biarpun diberi tentangan beberapa pasukan pilihan antaranya SK Seliau pada peringkat kumpulan, ia tidak menjejaskan rentak pemain memperagakan aksi mantap dan menewaskan lawan.

“Kami menyertai kejohanan ini dengan misi mempertahankan reputasi selaku naib juara Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2014, Jun lalu,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu pasukan itu muncul juara di Seliau, Negeri Sembilan manakala kejuaraan pertama diraih pada 2012 di Melaka.

Sheyful Izam berkata, deretan kejayaan dicapai hasil kerja keras menerusi program pembangunan bermula pada 2009 apabila memenangi kejuaraan peringkat daerah dan negeri Johor.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan Amir Sharifuddin Ahmad yang mewakili Pengarah Pelajaran Datuk Kalsom Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:06 AM