MENGEKALKAN identiti imej kotak.
MENGEKALKAN identiti imej kotak.
DIBINA untuk laluan lasak.
DIBINA untuk laluan lasak.
PELETAK Rubicon pada bahagian hadapan.
PELETAK Rubicon pada bahagian hadapan.
RUANG belakang boleh dibuka sepenuhnya.
RUANG belakang boleh dibuka sepenuhnya.
ENJIN menyalurkan kuasa yang mantap.
ENJIN menyalurkan kuasa yang mantap.
KONSUL tengah padat dengan butang penyaman udara, cermin berkuasa dan sistem audio.
KONSUL tengah padat dengan butang penyaman udara, cermin berkuasa dan sistem audio.
BUMBUNG yang boleh dibuka sepenuhnya.
BUMBUNG yang boleh dibuka sepenuhnya.
TOMBOL gear dengan pertukaran pacuan empat roda.
TOMBOL gear dengan pertukaran pacuan empat roda.
Oleh Erywan Norshal


Penulis mengenali model keluaran Jeep sejak menonton siri televisyen MacGyver pada zaman kanak-kanak dahulu.

Ketika itu, watak yang dilakon oleh Richard Dean Anderson sungguh ‘menjadi’ apabila boleh mencipta sesuatu bagi melepaskan diri daripada cengkaman pihak musuh.

Biarpun lebih 20 tahun berlalu, ingatan penulis masih lagi jelas bentuk kenderaan yang digunakan hinggalah baru-baru ini berpeluang memandu satu jentera keluaran Amerika Syarikat iaitu Jeep Wrangler Rubicon.

Jika diimbas, bintang dalam siri televisyen itu turut menggunakan Jeep Wrangler tetapi bagi ruangan Pandu Uji ini, penulis memandu varian paling baru yang dikeluarkan.

Rupa parasnya tidak jauh berbeza dengan model terdahulu kerana masih menerapkan reka bentuk ‘kotak’ sebagai ciri utamanya. Sememangnya imej bagi Jeep Wrangler Rubicon tampil maskulin dan menarik perhatian khalayak ramai.

Penulis boleh katakan, bentuk lama itu tidak ‘basi’ bagi jenama itu sekiranya dibandingkan jenama lain yang kini berlumba-lumba menghasilkan kenderaan rekaan futuristik sehingga menjejaskan identiti asal mereka.

Ruang dalaman jentera ini memberi pengalaman berbeza kerana cermin hadapan direka hampir tegak untuk memberi pemandangan lebih luas ketika memandu.

Jika melihat bahagian atas, kerangka casisnya hanya dilindungi sarung fabrik berpelapik kerana bumbung kenderaan itu boleh dibuka sepenuhnya dengan mudah. Bagaimanapun, cuaca panas menyebabkan penulis tidak membuka bumbung itu ketika melakukan pandu uji kenderaan berkenaan.

Bagi kenderaan dua pintu itu, ruang dalamannya tampak padat dengan rekaan kenderaan yang ditugaskan untuk kegunaan lasak. Papan pemukanya hanya dilengkapi pemain audio skrin sentuh, butang cermin berkuasa elektrik dan penyaman udara, selain kerusi dibaluti material berkualiti.

Dilihat secara kasar, kenderaan itu tampak besar dan panjang untuk pemanduan di ibu kota, namun ia sebenarnya terlalu mudah untuk dikendalikan.

Pada peringkat awal, ia sangat menyeksakan kerana terlalu sukar untuk mengagak jarak kenderaan di hadapan tetapi selepas beberapa jam memandu, baru penulis dapat menyesuaikannya.

Padanan enjin 3.6 liter V6 VVT dengan sistem transmisi automatik lima kelajuan, Jeep Wrangler Rubicon yang menggunakan bahan api petrol itu mempunyai kelebihannya. Ini kerana kuasa dibekalkan 284 kuasa kuda (hp) dengan tork setinggi 347 Nm menjadikan jentera ini sangat bertenaga sekiranya melalui laluan lasak.

Untuk pemanduan agresif, bagi penulis kenderaan ini tidak praktikal kerana bentuknya yang tinggi pasti membuatkan kenderaan bergoyang sekiranya memandu dalam kelajuan tinggi. Sekiranya mahu melalui laluan ‘off-road’, Jeep Wrangler Rubicon boleh dianggap juara kerana ia dicipta khas untuk tujuan itu.

Pada bahagian sisi pemandu, tertera dua butang yang disediakan iaitu ‘Sway Bar’ dan ‘Axle Lock’ bagi menempuh laluan ‘off-road’. Dengan hanya satu butang ‘Sway Bar’ ditekan, ia membolehkan sistem gantungan di bahagian depan dikerah ke tahap maksimum untuk melalui laluan berkenaan.

Malah, pilihan pacuan empat roda turut disediakan yang berletak berhampiran dengan tombol gear bagi memenuhi kemahuan pemanduan lasak. Perlu diingatkan, enjin kapasiti besar dengan dilengkapi sistem pacuan empat roda sepenuh masa ini tidak begitu ‘mesra’ tahap penggunaan petrol.

Bagaimanapun, keunikan Jeep Wrangler Rubicon akan mengatasi masalah itu yang mana ia mempunyai identiti tersendiri bagi menarik sesiapa saja untuk memilikinya.

INFO

JEEP WRANGLER RUBICON

- ENJIN: 3,604 cc Pentastar V6 VVT

- KUASA MAKSIMUM: 284 hp pada 6,350 rpm

- TORK MAKSIMUM: 347 Nm pada 4,300 rpm

- TRANSMISI: Lima kelajuan automatik

- CIRI KESELAMATAN: Beg udara bahagian depan dengan ciri ‘Advanced Multistage’, Kawalan Mula Menaiki Bukit, Kawalan Kestabilan Elektronik, Bantuan Brek Hidrolik dan kawalan cengkaman

- HARGA: RM348,010 termasuk insurans

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:01 AM