Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Jaguh trek negara Azizulhasni Awang meraih kejuaraan berganda di Siri Pertama Grand Prix Asia Tenggara 2015 apabila mengungguli acara keirin semalam.

Namun lebih melegakan, pelumba digelar The Rocketpocketman itu tidak terbabit dalam insiden kemalangan membabitkan dua pelumba Thailand serta seorang lagi pelumba negara Mohammad Shah Firdaus Sahrom ketika menuju garisan penamat dalam aksi final di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras itu.

Shah Firdaus yang menamatkan saingan di kedudukan kedua bagaimanapun dipersalahkan dalam insiden yang turut membabitkan dua pelumba Thailand, Warayut Kapunya dan Pongthep Tapimay.

Ketika Shah Firdaus tidak terjatuh, dua pelumba Thailand itu bagaimanapun mengalami kecederaan akibat insiden berkenaan.

“Syukur saya tidak terbabit dalam kemalangan itu. Ketika berbaki 50 meter saya terdengar ada bunyi basikal terjatuh membabitkan pelumba di belakang.

“Nasib baik saya tidak terbabit, kalau jatuh mungkin banyak masalah timbul dan masa yang diperlukan (untuk pulih). Namun saya simpati kepada yang terbabit termasuk Shah Firdaus kerana kami sepatutnya menang 1-2,” katanya yang turut memenangi acara pecut kelmarin.

Pelumba kelahiran Terengganu itu sememangnya diharapkan untuk berada pada tahap terbaik kerana menjadi sandaran utama negara untuk menggegar di pentas antarabangsa terutamanya di Olimpik Rio tahun depan.

Pada perlumbaan final keirin semalam, Azizulhasni tidak mempunyai masalah mengungguli acara berkenaan apabila berada dalam kelas tersendiri untuk muncul peserta pertama melintasi garisan penamat.

Pelumba Uzbekisten Ruslan Fedorov meraih perak selepas kejayaan Shah Firdaus dibatalkan komisar pertandingan manakala Worayut dianugerahkan gangsa.

Fatehah Mustapa pula mengungguli kategori wanita dalam acara keirin apabila mengenepikan cabaran lima pelumba lain.

Shanon McCurley dari Ireland meraih perak manakala gangsa milik pelumba Thailand Pannaray Rasee. Seorang lagi pelumba negara Farina Shawati Mohd Adnan, kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 8:34 AM