PELUMBA trek negara, Shah Firdaus Sahrom (depan)menyasarkan mara ke final acara keirin pada Kejohanan Trek Dunia di Apeldoorn. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
PELUMBA trek negara, Shah Firdaus Sahrom (depan)menyasarkan mara ke final acara keirin pada Kejohanan Trek Dunia di Apeldoorn. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Haika Khazi


PELUMBA trek negara, Shah Firdaus Sahrom menyasarkan mara ke final acara keirin pada Kejohanan Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda dari 28 Februari hingga 4 Mac ini.

Selain Shah Firdaus, seorang lagi pelumba Malaysia yang turut layak ke kejohanan berkenaan ialah Azizulhasni Awang yang juga juara bertahan acara itu.

Menurut Shah Firdaus, dia menjangkakan saingan kali ini semakin sengit kerana ramai pelumba dari negara lain menunjukkan peningkatan mendadak sejak kebelakangan ini. 

"Tambahan pula, kebanyakan pelumba termasuk saya bukan hanya mahu merebut jersi Pelangi (dipakai Azizulhasni sekarang) malah berhasrat mengumpulkan sebanyak mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Perlumbaan ini juga penting sebagai sebahagian daripada persediaan saya dan Azizulhasni untuk menghadapi saingan Sukan Komanwel (April) dan Sukan Asia, Ogos nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, impian peminat tempatan mahu melihat pelumba negara merangkul emas dalam acara keirin pada Kejohanan Trek Asia (ACC) di Nilai, kelmarin berkecai apabila Azizulhasni sekadar menang gangsa dan Shah Firdaus Sahrom pula menamatkan perlumbaan di tempat keempat. 

Azizulhasni yang digelar The Pocketrocketman dan Shah Firdaus terpaksa akur dengan kayuhan bertenaga Tomoyuki Kawabata dari Jepun serta pelumba Korea Selatan, Im Chaebin dalam perlumbaan sengit dan mendebarkan.

Kali terakhir Malaysia memenangi acara yang dilabel 'riben biru' dalam acara lumba basikal itu adalah di Thailand pada 2015 menerusi Azizulhasni.

Bagaimanapun, Shah Firdaus dan Azizulhasni masih berpeluang menghadiahkan emas apabila mereka turun beraksi dalam acara pecut esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 7:14 PM